ADS
Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Elak pemusatan kuasa' - Ramai sokong hadkan tempoh jawatan PM

Cadangan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun kembali menjadi perhatian apabila ia dibangkitkan dalam kongres tahunan DAP pada minggu lalu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan persetujuannya dan pelbagai pihak telah mengutarakan pandangan mereka, sama ada setuju mahupun tidak setuju.

Ia bukanlah isu yang baru dan malah pernah dimasukkan dalam manifesto Barisan Alternatif, iaitu gabungan PKR, PAS dan DAP pada 1998.

Tinjauan Malaysiakini beberapa hari lalu mendapati rata-rata menyambut baik cadangan tersebut namun ada juga pandangan yang berbeza pandangan, antaranya berhubung kesannya terhadap kestabilan politik negara serta had tempoh yang sesuai.

ADS

Antara yang bersetuju pensyarah jurusan komunikasi Universiti Sains Islam Malaysia Raqib Sofian, 36, yang menyifatkan cadangan tersebut selari dengan amalan negara maju yang lain.

Raqib merujuk negara seperti Amerika Syarikat dan Indonesia yang telah melaksanakan had dua penggal bagi presidennya.

“Langkah ini membolehkan negara terus maju ke hadapan serta mengelakkan pemusatan kuasa seperti yang pernah berlaku dalam sejarah, di mana kepimpinan hanya tertumpu pada satu pihak. 

“Oleh itu, had tempoh ini dapat memberi peluang kepada pemimpin baru untuk menerajui negara,” katanya.

Ejen insurans, Huang Chun Fei, 39, pula menyokong cadangan kerana berpandangan tempoh 10 tahun itu sudah cukup.

“Jangka masa yang diberikan sudah cukup panjang untuk merangka pembangunan Malaysia secara keseluruan. Seterusnya, biar rakyat yang menilai,” katanya.

Pada 19 November lalu, jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata perbincangan tentang dasar itu masih di peringkat awal dan memerlukan perhatian mendalam kerana membabitkan pindaan perlembagaan.

CSO Platform for Reform sebelum ini menggesa semua parti politik agar menyokong cadangan itu yang disifatkannya sebagai pembaharuan kritikal yang akan menghalang tumpuan kuasa berlebihan, memupuk kestabilan demokrasi, dan meningkatkan integriti institusi.

Bagaimanapun Presiden PAS Abdul Hadi Awang memiliki pandangan berbeza, yang antara lain berkata tanggjungjawab memimpin negara adalah amanah besar daripada Allah.

“Bukan sekadar membahagikan jawatan atau memberikan kerja dalam tempoh tertentu kepada seseorang untuk menikmati jawatan, kemudian digilirkan kepada seseorang yang lain untuk mengambil kesempatan juga.”

Dr Mahathir Mohamad

Begitu juga dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, yang menyatakan ada cara lain untuk membolehkan seseorang perdana menteri diketepikan daripada jawatan tersebut dan menetapkan tempoh tertentu bukanlah pendekatan yang betul.

Katanya lagi, walaupun dia menjadi perdana menteri selama 22 tahun, masih banyak rancangan yang ingin dilaksanakannya tidak dapat diselesaikan.

ADS

‘10 tahun terlalu singkat’

Sementara itu, seorang lagi yang ditemui Malaysiakini, Ee Yong Zin menegaskan langkah tersebut dapat mengelakkan penyalahgunaan kuasa. 

“Saya sangat setuju jika perkara ini dapat dipercepatkan, saya tidak mahu mana-mana pimpinan yang salah terus bermaharajalela,” kata ejen insurans berusia 31 tahun itu lagi.

Turut bersetuju, Alif Danial berpandangan had tempoh itu ia dapat membawa perspektif baru dalam kepimpinan negara.

“Kita akan dapat pandangan yang baru dan segar dalam tampuk pemerintahan untuk negara terus maju ke depan.

“Pemerintahan sama yang terlalu lama berisiko memburukkan gejala kronisme,” kata pemuda berusia 27 tahun itu lagi.

Namun, tidak semua responden bersetuju dengan cadangan tersebut. 

Antaranya Reena Nagalingam, 33, yang merasakan walaupun had tempoh memegang jawatan adalah penting, 10 tahun adalah terlalu singkat. 

“Perlu beri masa 20 hingga 25 tahun untuk melihat bukti keberkesanan sesuatu pemerintahan dengan lebih jelas. Ia juga dapat menjamin kestabilan politik negara,” katanya.

Seorang lagi ejen hartanah, Kenneth, 41, juga membantah cadangan tersebut kerana berpandangan keupayaan seseorang pemimpin seharusnya menjadi faktor utama dalam menentukan tempohnya memegang jawatan.

“Kita perlu lihat juga dari aspek fizikal dan mental seseorang pemimpin itu. Jika tubuh masih kuat dan jiwa yang berwibawa, tidak salah kalau kekalkan sahaja,” katanya.

‘Sepenggal sahaja’

Pada masa sama, ada juga responden yang merasakan tempoh 10 tahun masih terlalu lama untuk seseorang individu menjadi perdana menteri.

Misalnya Faizal Amir yang mencadangkan had tempoh ditetapkan untuk lima tahun sahaja, atau satu penggal.

“Boleh setuju tapi singkatkan kepada satu penggal sahaja. Jika dibiarkan terlalu lama, rakyat yang tanggung derita,” kata peniaga berusia 46 tahun itu.

Pandangan serupa turut dikongsi penghantar makanan, Faris Zariq, 22, yang berkata had satu penggal dapat mengelakkan pemimpin yang sama mendominasi pentadbiran negara.

Katanya lagi, kepelbagaian gaya kepimpinan pula boleh membawa pembaharuan dalam pentadbiran negara.

“Saya tidak setuju. Patut hanya beri satu penggal. 

Jika parti sama yang menang sekalipun, rakyat mahu pemimpin yang menjadi perdana menteri bukan orang sama. Lain orang, lain jiwa pimpinannya,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS