ADS
Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kebolehpasaran graduan TVET capai 99 peratus, kata menteri

Kebolehpasaran graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) telah mencapai 99 peratus sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana kemahiran dimiliki membolehkan mereka ditawarkan peluang pekerjaan meskipun belum menamatkan pengajian.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata ia selaras dengan unjuran kementerian itu agar perhatian ditumpukan pada bidang kemahiran supaya dapat membina kepakaran negara dengan kekuatan tenaga kerja sendiri khususnya pelajar di peringkat kolej vokasional.

"Inisiatif ini juga hendaklah dilaksanakan bersama industri kemahiran lain bagi memastikan hasil yang lebih berkesan dan dapat dimanfaatkan khususnya meningkatkan kemahiran anak-anak di kolej vokasional," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Kolej Vokasional Sandakan 2 di sana hari ini.

Fadhlina berkata kolej vokasional tidak boleh ketinggalan kerana tumpuan pada masa ini adalah TVET yang menyeluruh dan kursus-kursus relevan di institusi pendidikan itu perlu diperhalusi supaya mengikut kehendak pasaran.

ADS

Dia berkata pemain industri juga memainkan peranan dalam membantu melihat kegiatan kokurikulum pendidikan yang wajar untuk diberikan perhatian supaya dapat menaik taraf kolej vokasional.

Fadhlina berkata kerajaan berhasrat melahirkan tenaga kepakaran, kemahiran dan kepintaran di peringkat domestik atau tempatan dan ia sedang diusahakan antaranya melalui pendidikan kolej vokasional.

Katanya, program kolej vokasional insani juga akan diperluas di Sabah bagi menyampaikan mesej kepada ibu bapa untuk memilih TVET agar ia tidak lagi menjadi pilihan kedua.

"Saya berharap kita akan dapat memaksimumkan kemasukan anak-anak Sabah ke kolej vokasional di Sandakan ini," katanya yang turut memaklumkan terdapat perancangan untuk menambah kolej vokasional di negeri itu bagi memberi peluang saksama kepada anak-anak Sabah dalam TVET.

Mengulas mengenai sekolah yang terjejas banjir di beberapa negeri, Fadhlina berkata pihaknya kini memantau kos kerosakan dan menyalurkan peruntukan untuk membaiki premis terbabit. 

Dia berkata sekolah yang terjejas banjir akan diberi perhatian bagi memastikan keselesaan pelajar.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS