ADS
Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tafsiran polis pada undang-undang tak sentiasa betul - peguam
Diterbitkan:  Mar 21, 2025 8:30 PM
Dikemaskini: 12:30 PM

Tafsiran polis terhadap undang-undang tidak sentiasa betul, kata ahli Badan Peguam Malaysia, Ramachelvam Manimuthu hari ini.

Mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam bahawa polis telah bertindak ultra vires (malampaui kuasa) dalam menghalang perhimpunan dan perarakan Majlis Peguam Malaysia pada Jun 2022, Ramachelvam berkata baik polis mahupun kerajaan boleh tersilap dalam mentafsir undang-undang.

"Ia (keputusan) yang mensahihkan pendirian Badan Peguam dan ia juga menunjukkan bahawa tafsiran polis terhadap undang-undang itu tidak selalunya betul," katanya kepada panel di Majlis Peguam di Kuala Lumpur.

Tambahnya, mahkamah adalah penimbang tara terakhir dalam mentafsir undang-undang.

Badan Peguam menganjurkan Walk for Judicial Independence pada 17 Jun 2022 untuk membantah siasatan SPRM terhadap hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang mengetuai kes rasuah SRC International bernilai RM42 juta terhadap bekas perdana menteri Najib Razak.

ADS

Polis menghalang peguam yang menghadiri acara itu daripada berjalan ke Parlimen sebagai sebahagian daripada protes.

Badan profesional undang-undang itu kemudian memfailkan perintah mahkamah untuk memaksa polis membayar ganti rugi kerana menghalang peguam daripada menuju ke Parlimen.

Ia juga meminta beberapa pengisytiharan mahkamah, termasuk pihak berkuasa melanggar hak asasi peguam untuk berhimpun secara aman.

Ramachelvam hari ini berkata Badan Peguam telah meminta ganti rugi nominal RM1 untuk menunjukkan bahawa samannya adalah berdasarkan prinsip.

“Jadi Badan Peguam mengambilnya sebagai prinsip bahawa kami mempunyai hak untuk berhimpun di tempat awam dan kami mempunyai hak untuk berarak ke Parlimen untuk membentangkan memorandum itu.

"Kami telah memberikan notis yang diperlukan," tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS