Masyarakat secara umum tidak sepatutnya menjadikan kanak-kanak sebagai bahan kandungan laman media sosial masing-masing, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.
“Perkara ini bukan sahaja untuk cikgu-cikgu, malah untuk ibu bapa dan kita semua yang perlu bertanggungjawab untuk tidak menyiarkan kanak-kanak sebagai bahan kandungan media sosial kerana ia membawa risiko kepada kanak-kanak tersebut, jadi kita tak galakkan.
“Yang penting mesejnya ialah jangan kita kongsi di media sosial dengan menggunakan anak sebagai bahan kandungan,” katanya kepada pemberita selepas majlis sumbangan Ramadan dan agihan bubur asyura Parlimen Santubong di Balai Bomba dan Penyelamat Tabian Jaya, Kuching hari ini.
Nancy berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang meminta golongan pendidik supaya tidak menjadikan pelajar terutama pelajar sekolah rendah sebagai bahan kandungan dalam laman media sosial bagi mengelakkan penyalahgunaan oleh individu tidak bertanggungjawab.
Kata Nancy Malaysia masih dalam pertimbangan mengikut jejak langkah Australia dalam mewujudkan undang-undang melarang kanak-kanak dan remaja daripada menggunakan media sosial, seterusnya membendung penyalahgunaan bahan kandungan melibatkan golongan itu.
“Kita belum ada undang-undang sedemikian kerana masih difikirkan sama ada kita perlu atau tidak… sebab itu peringatan untuk larangan kanak-kanak sebagai bahan kandungan media sosial sering kali dikeluarkan,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai situasi banjir di beberapa negeri, Nancy berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat sudah bersedia sekiranya terdapat keperluan untuk membekukan cuti pegawainya agar bertugas di pusat pemindahan sementara (PPS) sewaktu Aidilfitiri.
“Untuk banjir sehingga sekolah ditutup di Johor, kita juga bersedia sekiranya Kementerian Pendidikan Malaysia memerlukan bantuan tambahan daripada kami, tetapi setakat ini menteri (Fadhlina Sidek) cakap semua masih terkawal,” katanya.
Setakat 4 petang ini, jumlah mangsa banjir di PPS di Johor dan Sarawak dilaporkan meningkat dengan masing-masing mempunyai 11,776 orang dan 435 orang, manakala Sabah dilaporkan menurun kepada 344 orang berbanding 1,248 orang pagi tadi.
- Bernama