ADS
Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mat Sabu seru orang ramai sertai himpunan solidariti Palestin 28 Mac

Orang ramai diajak menyertai himpunan solidariti untuk rakyat Palestin di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat pada 28 Mac ini bagi menyatakan bantahan atas serangan udara Israel di Semenanjung Gaza sejak Selasa lepas.

Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu berkata mereka yang ingin menyertai himpunan berkenaan boleh berkumpul di Masjid Tabung Haji selepas solat Jumaat sebelum bergerak ke Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur.

“Biar dunia tahu, rakyat Malaysia tidak duduk diam!

“Kita bukan sekadar mengecam Zionis Israel. Kita juga nak nyatakan kekecewaan dan marah kepada negara-negara Arab yang membiarkan saudara sesama Islam kita di Palestin terus ditindas,” kata beliau yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menerusi kenyataan di laman Facebook.

Tentera Israel melancarkan serangan udara mengejut ke atas Semenanjung Gaza pada Selasa, menghancurkan gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tahanan yang berkuat kuasa pada Januari.

ADS

Hampir 50,000 rakyat Palestin terbunuh, kebanyakan wanita dan kanak-kanak manakala lebih 112,000 yang lain cedera dalam kempen ketenteraan Israel di Gaza sejak Oktober 2023.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS