Seorang peguam hari ini membandingkan peruntukan kewangan kepada Kementerian Perpaduan Negara dan Jakim bagi mempersoalkan komitmen kerajaan dalam menangani isu berkaitan kaum dan agama.
Secara khusus, peguam Andrew Khoo merujuk kepada peruntukan di bawah Belanjawan 2025, dengan RM711 juta diberikan kepada seluruh Kementerian Perpaduan Negara, berbanding RM2 bilion kepada Jakim di bawah Jabatan Perdana Menteri.
“Jadi apakah keutamaan kerajaan Madani dalam isu kaum, agama, dan perpaduan negara jika mereka memberikan Jakim hampir tiga kali ganda daripada apa yang diperoleh Kementerian Perpaduan Negara?
“Kementerian Perpaduan Negara memerlukan kuasa dan dana yang lebih besar,” kata Khoo yang menghadiri pelancaran laporan tahunan Malaysia Racism Report 2024 oleh Pusat Komas di Petaling Jaya hari ini.
“Tiada gunanya mengatakan kementerian mahu melakukan itu dan ini, jika ia tidak mempunyai dana, sumber, atau autoriti,” katanya semasa sesi soal jawab selepas pelancaran laporan tersebut.
Dia mengulas ucapan Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang ketika melancarkan laporan tersebut, tetapi menteri berkenaan telah meninggalkan Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya sebelum sesi soal jawab bermula.
Khoo turut menyatakan kekurangan sumber dan kuasa mungkin menjadi faktor mengapa Aaron jarang berinteraksi secara terbuka dengan orang ramai, kerana ini bukan kali pertama dia menghadiri acara apabila menteri tersebut segera meninggalkan majlis selepas selesai acara rasmi.
Antara cadangan laporan tersebut termasuk menggubal Akta Anti-Diskriminasi Kaum serta menubuhkan Suruhanjaya Bebas Keharmonian Negara.
Namun, Khoo berpendapat mana-mana penggubalan undang-undang atau perubahan dasar mungkin perlu melibatkan pemberian lebih kuasa kepada Kementerian Perpaduan Negara untuk bertindak terhadap kes berkaitan kaum dan agama, sambil mengurangkan bidang kuasa kementerian lain.
“Saya tertanya-tanya sama ada selain daripada mewujudkan undang-undang baharu, mungkin ada cara untuk mengambil sebahagian bidang kuasa daripada Kementerian Dalam Negeri serta beberapa kementerian lain, dan dipindahkan di bawah Kementerian Perpaduan Negara supaya ia lebih berkuasa menangani isu seperti ucapan kebencian,” katanya.
“Bukan semua perkara mesti diuruskan dengan undang-undang berkaitan keselamatan atau mesti melalui Kementerian Dalam Negeri,” katanya.
“Mungkin sebuah pasukan bertindak segera boleh ditubuhkan untuk menyelesaikan insiden berkaitan kaum melalui pendekatan mediasi,” jelas Khoo.
Sebelum ini, Aaron pernah menjelaskan kuasa penguatkuasaan dan tindakan undang-undang terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Komunikasi, dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) – bukan Kementerian Perpaduan Negara.
Dia juga berkata undang-undang sedia ada serta peruntukan dalam Kanun Keseksaan sudah memadai, justeru menolak keperluan untuk menggubal satu undang-undang anti-diskriminasi yang berasingan.