ADS
mk-logo
Berita
KATA MP | Negara Arab jadi pemerhati sambil hisap shisha

KATA MP | Nampaknya, kita semua dah boleh hafal skrip drama kezaliman Zionis Israel.

Tiap kali ada pembunuhan beramai-ramai di Palestin, kita buat siaran ulang tayang — kutuk, kecam, bantah, dan ia habis sekadar di situ.

Esok lusa, kita buat benda sama lagi. Masalahnya, bukan Zionis Israel yang perlu kita ingatkan tentang kezaliman mereka. Kejahatan mereka sudah termaktub dalam al-Quran sejak dulu.

Yang pelik, negara-negara Arab yang kononnya saudara seislam terus duduk diam membatu.

Mereka lebih sibuk menjaga hati AS dan konco-konconya daripada menjaga nyawa rakyat Palestin.

ADS

Ada duit minyak berbillion-billion dolar, tapi nak keluarkan sepatah dua kata pun susah.

Tengok Afrika Selatan — negara bukan Islam, tapi lebih berani daripada semua negara Arab yang kaya-raya itu.

Mereka halau duta Israel, mereka bawa kes ke mahkamah antarabangsa, mereka tidak takut pun pada tekanan sekutu Israel.

ADS

Ini baru negara yang ada prinsip. Tapi kita? Kita terus berharap pada Hamas, Hizbullah, dan Jihad Islami untuk melawan Israel.

Kita harap pada Iran dan Yaman — negara yang disekat ekonominya — untuk buat kerja berat. Negara-negara Arab yang kononnya kuat? Mereka jadi pemerhati sambil hisap shisha.

Cukuplah jadi penonton. Pada 28 Mac ini, hari Jumaat, mari kita tunjukkan solidariti kita. Berkumpul di Masjid Tabung Haji selepas solat Jumaat dan bergerak ke Kedutaan AS.

Biar dunia tahu yang rakyat Malaysia tidak duduk diam! Kita bukan sekadar mengecam Zionis Israel.

Kita juga nak nyatakan kekecewaan dan marah kepada negara-negara Arab yang membiarkan saudara seislam kita di Palestin terus ditindas.

Sampai bila negara Arab nak jadi pak turut kepada AS? Sampai bila mereka nak takut pada bayang-bayang sendiri? Jom tunjukkan yang kita ada maruah!


MOHAMAD SABU ialah Presiden Amanah merangkap Ahli Parlimen Kota Raja dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS