Pemuda Amanah menyeru semua pihak bertenang serta memberi ruang kepada proses perbincangan yang sedang berlangsung berkaitan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman dan pembinaan Masjid Madani berhampiran Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.
Justeru Naib Ketua Pemuda Amanah Asmaaliff Abdul Adam berkata pihaknya percaya resolusi terbaik boleh dicapai dengan memberi ruang kepada perbincangan yang berterusan, tanpa tekanan dan pengaruh luar.
Katanya, isu tersebut perlu ditangani dengan penuh semangat muhibah antara pihak kuil, pemilik tanah, dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Oleh itu, kami menyeru agar semua pihak memberi kepercayaan kepada mereka yang terlibat untuk menyelesaikan perkara ini dengan cara yang adil dan harmoni, demi kepentingan bersama,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dia berkata demikian sebagai mengulas kontroversi membabitkan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang didakwa berdepan risiko dipindahkan selepas pemilik tanah berhasrat membina masjid di tanah berkenaan.
Terdahulu bekas presiden Badan Peguam Malaysia Ambiga Sreenevasan dan kumpulan hak asasi manusia, Lawyers for Liberty (LFL) mengadakan sidang media berhubung rancangan perobohan kuil Hindu yang bersejarah bagi memberi laluan kepada pembinaan masjid.
Peguam yang mewakili jawatankuasa Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman membayangkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terlibat lebih banyak dalam isu tapak kuil tersebut.
N Surendran, yang juga pengasas bersama Lawyers for Liberty, berkata DBKL seolah-olah mencadangkan kerajaan tiada kaitan, memandangkan tanah tersebut milik persendirian.
Bagaimanapun katanya, pertikaian muncul kerana tindakan DBKL pada masa lalu. Katanya, pada 2008, DBKL mengarahkan kuil itu—yang dibina pada 1893—berpindah beberapa meter ke lokasi di mana ia kini berada.
Kemudian pada 2014, DBKL dikatakan menjual tanah tersebut tanpa pengetahuan jawatankuasa kuil.
DBKL semalam dilaporkan memberi komitmen tidak akan melakukan sebarang aktiviti perobohan ke atas kuil berkenaan.
Dalam satu kenyataan, DBKL sebaliknya berkata pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman akan dilaksanakan secara telus, adil dan membabitkan perbincangan dengan pihak berkepentingan bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya.
Dalam perkembangan itu Asmaaliff berkata, dalam masyarakat berbilang kaum, setiap isu yang melibatkan sensitiviti agama harus diselesaikan dengan berlandaskan prinsip keadilan, rundingan terbuka, dan saling memahami.
Menurutnya, Pemuda Amanah menghormati hak setiap komuniti dalam menjalankan ibadah mereka dan mengakui kepentingan warisan sejarah dalam membentuk identiti masyarakat.
“Tetapi hak pemilikan tanah yang sah juga perlu dihormati, selagi ia ditangani dengan penuh rasa tanggungjawab dan keprihatinan terhadap semua pihak yang terlibat.
“Berdasarkan maklumat yang telah dikongsikan, usaha mencari penyelesaian terbaik telah berjalan sejak sekian lama, termasuk perbincangan tentang pemindahan yang lebih sesuai bagi memastikan keselesaan penganut Hindu terus terjaga.
“Dalam hal ini, kami melihat adanya kesungguhan daripada pihak pemilik tanah dan pihak berkuasa untuk memastikan peralihan berlaku secara adil dan tidak tergesa-gesa,” katanya.
Jelasnya lagi tawaran bantuan relokasi dan komitmen untuk mencari tapak alternatif yang lebih sesuai menunjukkan niat baik dalam memastikan semua pihak mendapat penyelesaian yang terbaik.
“Oleh itu, adalah wajar untuk membiarkan proses rundingan ini berjalan tanpa sebarang campur tangan yang boleh merumitkan keadaan atau menyulitkan usaha mencari titik persetujuan.
“Apa yang lebih penting adalah mencapai penyelesaian yang mengutamakan keharmonian dan kesejahteraan semua pihak, bukannya menimbulkan polemik yang hanya akan menggugat perpaduan yang kita bina selama ini,” tambah Asmaaliff.