ADS
Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
TH agih keuntungan 3.25 peratus, tertinggi sejak 2018
Diterbitkan:  Mar 21, 2025 11:39 AM
Dikemaskini: 3:39 AM

Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat agensi itu sebanyak 3.25 peratus bagi tahun kewangan 2024 menjadikan ia kadar tertinggi sejak 2018.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar berkata keseluruhan agihan keuntungan berkenaan berjumlah RM2.92 bilion yang akan memberi manfaat kepada lebih 9.54 juta pendeposit TH.

“Kadar tersebut dicapai setelah mengambil kira pelunasan zakat sebanyak 2.5775 peratus atau RM99.35 juta,” katanya pada sidang media pengumuman kadar agihan keuntungan TH bagi tahun kewangan 2024, di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Syed Hamadah Syed Othman; Pengerusi Lembaga TH Abdul Rashid Hussain; dan Pengarah Eksekutif Kewangan Kumpulan TH, Mustakim Mohamad.

Mohd Na’im berkata agihan keuntungan tertinggi sejak tujuh tahun itu dipacu oleh prestasi pelaburan lebih baik, kesan pertumbuhan ekonomi dan pasaran saham negara yang positif pada 2024, di samping usaha berterusan mengawal kos operasi.

ADS

“Alhamdulillah, sehingga kini jumlah keseluruhan agihan keuntungan TH sejak penubuhannya selama 61 tahun ini ialah sebanyak RM45.79 bilion,” katanya.

Tambah Mohd Na’im pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan 2024 yang dikreditkan ke akaun masing-masing bermula Ahad ini menerusi platform THiJARI atau kaunter TH.

Selain itu ia juga boleh disemak melalui kaunter Bank Islam dan Bank Rakyat, selain saluran elektronik bank rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamic.

Pada sidang media sama, dia turut mengumumkan pelunasan zakat sebanyak RM99.35 juta kepada semua majlis agama Islam negeri-negeri bagi pihak pendeposit untuk tahun lalu.

Katanya ia diselaraskan berdasarkan nisbah baki simpanan pendeposit mengikut negeri.

Mohd Na’im berkata pelunasan zakat itu secara langsung atau tidak langsung dapat membantu usaha kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan tegar.

Dia berkata sebagai institusi yang menguruskan simpanan pendeposit, TH telah membantu lebih 1.5 juta umat Islam di negara ini mengerjakan haji bersama menanggung bantuan kewangan haji sebanyak RM2.8 bilion sejak 2001.

Mengenai program Zakat Wakalah, Mohd Na’im berkata, TH telah menyantuni lebih 670,000 asnaf di seluruh negara pada tahun lepas, dengan keseluruhannya lebih 2.2 juta asnaf telah menerima manfaat daripada inisiatif sama dalam tempoh sedekad yang lalu.

Sementara itu, Syed Hamadah berkata pengisytiharan agihan keuntungan itu mematuhi Akta Tabung Haji 1995 dan diumumkan setelah penyata kewangan TH tahun 2024 selesai diaudit oleh Jabatan Audit Negara.

Untuk rekod, bagi tahun kewangan 2020 hingga 2023, agihan keuntungan TH berada pada kadar 3.10 peratus, manakala bagi 2019 dan 2018 masing-masing pada kadar 3.05 dan 1.25 peratus.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS