Kerajaan Terengganu melarang semua aktiviti busking atau persembahan muzik jalanan pada 10 malam terakhir Ramadan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Terenggganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata larangan itu berkuat kuasa mulai semalam hingga 30 Mac ini.
Katanya peraturan itu bertujuan menghormati dan memelihara kemuliaan 10 malam terakhir Ramadan.
"Perkara ini telah dimaklumkan kepada semua pemilik premis perniagaan dan pasar raya yang menjadi lokasi persembahan busking di seluruh Terengganu.
"Surat juga telah dihantar kepada semua penganjur bazar Ramadan, pesta moreh dan bazar Aidilfitri seluruh Terengganu," katanya ketika dihubungi hari ini.
Wan Sukairi berkata mana-mana pihak yang didapati melanggar peraturan berkenaan akan berdepan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa tempatan.
Sehubungan itu, dia meminta semua pihak menghormati dan mematuhi peraturan ditetapkan.
Terengganu sebelum ini mengarahkan semua aktiviti persembahan muzik jalanan hanya dijalankan selepas solat tarawih dengan pemilihan lagu berunsur ketuhanan.
Persembahan pula hanya membabitkan penyanyi lelaki manakala golongan wanita dilarang keras daripada terlibat dalam aktiviti berkenaan.
- Bernama