Seorang pemimpin Pemuda DAP telah membuat laporan polis terhadap Presiden PAS Abdul Hadi Awang susulan kenyataan terbaharunya terhadap DAP.
Menurut Ketua Pemuda DAP Kepong Jefferson Chia, pemimpin PAS itu didakwa membuat kenyataan berunsur hasutan dan perkauman apabila mengatakan pemimpin DAP secara terbuka menentang Islam.
"Ini tuduhan berbahaya yang boleh mencetuskan ketegangan agama dan kaum.
"Sekiranya polis tidak mengambil tindakan, ini ibarat memberi lampu hijau kepada ahli politik untuk terus membuat kenyataan yang lebih ekstrem, penuh kebencian dan hasutan," katanya dalam satu kenyataan.

Chia membuat laporan polis tersebut di Sentul petang semalam dan menggesa pihak polis menyiasat Hadi mengikut Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia.
"Negara ini tiada tempat untuk politik toksik. Hadi Awang mesti diheret ke mahkamah dan dipertanggungjawabkan," tambahnya lagi.
Pada Rabu lalu, Hadi memuat naik tulisan terbaru 'Minda Presiden PAS' di Facebooknya berjudul "Mengutamakan cadangan DAP membelakangi ketetapan Allah."
Abdul Hadi menyasarkan cadangan DAP agar tempoh jawatan perdana menteri dihadkan kepada 10 tahun.
Menyifatkan cadangan itu sebagai bertentangan dengan kehendak Allah, ahli parlimen Marang mendakwa umat Islam sedang berdepan ujian kerana agama mereka ditentang secara terbuka oleh DAP.
"Jika ada yang bertanya mengapa dahulu boleh bekerjasama tetapi sekarang pula diharamkan, ketahuilah bahawa pengalaman kerjasama PAS dahulu adalah atas titik persamaan menentang penyelewengan, rasuah dan lain-lain.
"Namun, DAP melanggar sempadan kerjasama itu atas dasar menentang keislaman yang sempurna sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan mengikut tafsiran Islam yang sebenar. Maka, hubungan dengan PAS diputuskan.
"Adapun pengikut PAS yang diseret keluar bersama DAP terdiri daripada kalangan mereka yang mahu mendiamkan perjuangan Islam yang terbuka atau mengambil langkah yang paling lemah menentang kemungkaran atau mereka yang bersedia menjadi syaitan bisu terhadap kemungkaran atau menyembunyikan kebenaran Islam yang diketahuinya sehingga mendapat laknat Allah," tegas presiden PAS itu..