Gambar sadis anjing yang dicederakan di sebuah universiti awam di Gombak, Selangor telah didedahkan pada sidang media pagi ini, dengan seorang peguam menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat tindakan kekejaman terhadap haiwan berkenaan.
Gambar-gambar itu memaparkan beberapa ekor anjing mengalami kecederaan sadis, termasuk di bahagian kepala dan leher.
Peguam, Rajesh Nagarajan menggesa pihak universiti menghukum pelajar yang bertanggungjawab.
Dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini, dia berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar perlu mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya mengikut Seksyen 29 Akta Kebajikan Haiwan 2015 terhadap mereka yang mencederakan anjing itu.
“Adalah mengejutkan bahawa pelajar dari universiti awam tempatan akan begitu tidak berhati perut untuk membaling mercun ke arah anjing untuk menghalang anjing tersebut dari memasuki kampus mereka.
"Anjing-anjing tersebut telah mengalami kecederaan melecur yang sangat teruk seperti yang dinyatakan oleh doktor veterinar yang merawat semua anjing itu," katanya.

Anjing-anjing itu telah ditemui oleh individu bernama Shima Aris.
Dia terjumpa siaran Facebook yang memperincikan bagaimana seekor anjing yang cedera berkeliaran di sekitar kampus dengan sebahagian kepalanya berkecai.
"Ia bermula dengan hantaran ini. Apabila saya menyelamatkannya (anjing pertama), kami tidak tahu bagaimana dia cedera.
"Dan kemudian jumpa anjing lain. Luka yang sama. Kampus yang sama. Jadi saya siasat lagi dan bertanya-tanya.
"Dan kami mendapati kesatuan pelajar dan keselamatan kampus menggunakan mercun untuk menghalang anjing liar," kata Shima kepada Malaysiakini.
Dia berkata penyelamatan pertama berlaku pada 3 Nov dan dia telah menyelamatkan 20 anjing dari kampus yang sama setakat ini.
Kira-kira RM26,605.20 telah dibelanjakan untuk rawatan anjing itu setakat 14 Mac, katanya.
Shima menjelaskan bahawa dia berjaya mengumpul wang melalui crowdfunding.
Selepas anjing itu dirawat, ia dihantar ke rumah angkat atau rumah tumpangan berbayar, tambahnya.
Malaysiakini telah menghubungi kesatuan pelajar universiti itu untuk mendapatkan maklum balas.