PAS Selangor hari ini dilaporkan mula menggerakkan usaha mereka "meningkatkan jumlah pengundi Melayu" atas alasan untuk menyeimbangkan demografi politik.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Sabirin Marsono, menjelaskan ada kawasan dewan undangan negeri dan parlimen di negeri itu menunjukkan jurang yang ketara di antara pengundi Melayu dan bukan Melayu.
Justeru, katanya, PAS Selangor menganggap langkah menyeimbangkan perbezaan itu penting dilaksanakan.
Dakwa Sabirin, rakyat Selangor yang telah lama bermastautin di negeri itu dan membayar cukai, bekerja, serta menikmati perkhidmatan disediakan kerajaan perlu diberikan ruang dan suara yang jelas dalam menentukan masa depan sendiri.
“Situasi ini memerlukan kempen kesedaran bagi menggalakkan lebih ramai pengundi Melayu yang telah lama bermastautin di Selangor untuk mendaftar sebagai pemilih dan memastikan mereka menunaikan tanggungjawab ketika pilihan raya akan datang.
“PAS Selangor bertekad akan menggerakkan satu agenda besar bagi meningkatkan kesedaran rakyat Selangor terhadap kepentingan mendaftar sebagai pemilih di tempat mereka bekerja dan membeli rumah agar hak demokratik rakyat Selangor dilindungi dan dihormati," katanya seperti dilaporkan Harakahdaily.
Ia menyusul genap seminggu selepas pemimpin PAS mengemukakan cadangan agar penyokong mereka dari negeri lain mendaftar di Selangor dalam usaha mereka menguasai kerajaan.
Menurut Pesuruhjaya PAS Selangor, Ab Halim Tamuri, gesaan itu khusus ditujukan kepada penyokong parti berkenaan dari Kelantan, Terenganu dan Kedah - tiga daripada empat negeri yang ditadbir PN.
Malah dia juga menegaskan bahawa proses tersebut "mudah sangat" dan meminta tumpuan diberikan pada beberapa kawasan khusus.
“Saya amat mengharapkan orang yang duduk di Selangor, mengundi di Selangor, khususnya bagi kawasan yang kita perlukan (sokongan) seperti Shah Alam dan Sungai Buloh, Bangi, Sekinchan, Semenyih dan Sepang.
“Tolong sangat yang tinggal di Selangor undi di Selangor. Mudah sangat, (hanya) bawa bil elektrik atau air ke pejabat pos untuk tukar tempat mengundi,” katanya di Shah Alam pada 13 Mac lalu.
Menurut Sabirin PAS Selangor mahu memastikan pembangunan di negeri terbabit memberi manfaat kepada semua.
“PAS Selangor yakin usaha ini penting untuk memastikan pembangunan negeri yang sifatnya seperti mini Malaysia ini terus dipacu dengan dasar yang adil, berintegriti, dan memberi manfaat kepada semua rakyat Selangor dalam erti kata yang lebih hakiki,” katanya.