ADS
Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saya tetap bertanding jawatan timbalan presiden PKR - Rafizi
Diterbitkan:  Mar 20, 2025 4:35 PM
Dikemaskini: 8:43 AM

Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli bakal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti itu yang berlangsung pada 24 Mei depan.

Beliau berkata keputusan itu dibuat bagi mengelak pergolakan dalaman parti yang boleh memberi kesan negatif kepada kepimpinan Kerajaan Perpaduan.

"Jika orang seperti saya berkata saya tidak berminat, saya mahu lakukan perkara lain, ia akan menimbulkan terlalu banyak drama dalam kerajaan pada saat kita benar-benar perlu bertahan untuk tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

"Jadi, sama ada bernasib baik atau tidak, saya perlu bertahan dan akan tetap bertanding," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kajian Separuh Penggal Pelan Tindakan Industri Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas Negara (OGSE) 2021-2030 hari ini.

Rafizi menyandang jawatan itu sejak pemilihan PKR 2022 selepas menewaskan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

ADS

Beliau pernah bertanding merebut jawatan itu pada 2018 tetapi tewas kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata fokus utama PKR dalam pemilihan kali ini adalah memastikan proses demokrasi berjalan secara matang dan sihat serta meneruskan komitmen terhadap tugas dalam kerajaan.

"Saya tidak fikir rakyat mahu melihat terlalu banyak drama daripada mana-mana parti politik. Kita harus fokus pada kemungkinan untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2028,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS