Pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan perbuatan adu domba agama oleh sesetengah pihak termasuk ahli politik dengan memainkan sentimen perkauman menjadi punca segelintir individu di negara ini bersikap ekstrem.
Timbalan Pengerusi Amanah Johor Dzulkefly Ahmad, berkata pihaknya melahirkan kebimbangan dengan budaya ekstrem yang ditonjolkan oleh segelintir umat Islam di negara ini dengan tindakan yang tidak menggambarkan akhlak Islam.
Katanya, terdapat insiden baru-baru ini yang memperlihatkan tindakan oleh individu berpuasa yang melakukan tindakan kasar sehingga mencemarkan nama baik Islam.
"Amanah Johor melihat segala perbuatan ekstrem ini berpunca dari adu domba sesetengah pihak yang sentiasa meniupkan api perbalahan demi kepentingan peribadi seperti sesetengah golongan ahli politik yang hanya memikirkan untung untuk parti mereka sahaja bukan memandang kesan yang dihadapi rakyat dalam negara ini.
"Amanah Johor mahu memberikan pandangan agar kerajaan memperketatkan lagi undang-undang berkenaan dengan adu domba perkauman dalam negara ini serta mengambil secara serius berkenaan hal tersebut.
"Dalam pada itu, Amanah Johor berpendapat keharmonian dalam negara adalah asas tunjang yang utuh dan perlu dipertahankan demi kesejahteraan semua yang hidup dalam negara ini,” katanya.
Semalam seorang warga emas yang tular berhubung kes menampar seorang lelaki bukan Muslim di kedai serbaneka sebuah pusat beli-belah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Johor Bahru atas pertuduhan sengaja mendatangkan kecederaan.
Abdul Razak Ismail, 65, selaku orang kena saman (OKS) mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret A Shaarmini.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Afiqah Musa berkata pihaknya menerima arahan terbaru daripada Pengarah Pendakwaan Negeri untuk pertuduhan diteruskan terhadap OKS selepas terdapat isu teknikal.
Mengikut pertuduhan pindaan, OKS didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Elijah Ling Zhao Zhong, 22, di sebuah kedai serbaneka di Johor Bahru pada 6.15 petang, Ahad lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Dzulkefly menyeru agar menekankan nilai murni serta berhemah dalam menegur dan bukannya tindakan secara emosi.
Katanya, ini selaras seperti kaedah yang digunakan Rasulullah SAW dalam membawa syiar Islam.