ADS
Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sedia maklum dengan isu yang membabitkan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman dan mahu perkara itu diselesaikan dengan baik.

Demikian penegasan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi R Ramanan.

Menurutnya perbincangannya bersama Anwar mengenai perkara itu sudah berlangsung beberapa kali.

“Saya sudah berbincang dengan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri beberapa kali berkaitan isu ini.

ADS

“Perdana menteri mengambil berat mahu isu ini diselesaikan dengan baik,” katanya kepada media di Kuala Lumpur, hari ini.

Dia berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman.

Bekas presiden Majlis Peguam Malaysia Ambiga Sreenevasan dan kumpulan hak asasi manusia, Lawyers for Liberty (LFL) mengadakan sidang media hari ini berhubung rancangan perobohan kuil Hindu yang bersejarah bagi memberi laluan kepada pembinaan masjid.

Dalam sidang media hari ini, peguam yang mewakili jawatankuasa Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman membayangkan Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) terlibat lebih banyak dalam isu tapak kuil tersebut.

N Surendran, yang juga pengasas bersama Lawyers for Liberty, berkata DBKL seolah-olah mencadangkan kerajaan tiada kaitan, memandangkan tanah tersebut milik persendirian.

Bagaimanapun, kata Surendran, pertikaian muncul kerana tindakan DBKL pada masa lalu.

Katanya, pada 2008, DBKL mengarahkan kuil itu—yang dibina pada 1893—berpindah beberapa meter ke lokasi di mana ia kini berada.

Kemudian pada 2014, DBKL dikatakan menjual tanah tersebut tanpa pengetahuan jawatankuasa kuil.

Terdahulu DBKL dilaporkan memberi komitmen tidak akan melakukan sebarang aktiviti perobohan ke atas kuil berkenaan.

Dalam satu kenyataan, DBKL sebaliknya berkata pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman akan dilaksanakan secara telus, adil dan membabitkan perbincangan dengan pihak berkepentingan bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya.

“DBKL telah mengenal pasti lokasi baru untuk pemindahan rumah ibadat terlibat bagi memastikan penganut Hindu dapat terus menjalankan aktiviti keagamaan mereka dengan selesa dan harmoni,” kata kenyataan DBKL.

Sementara itu Ramanan turut memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan merobohkan kuil tersebut, manakala DBKL akan terus berunding dengan pihak-pihak yang terlibat bagi mencapai kata sepakat.

“Kalau kita lihat isu sekarang adalah kuil yang ditempatkan di sini ada pemilik swasta yang baru. Isunya pemilik swasta.

“Jadi ini tidak melibatkan kerajaan kerana ia sudah menjadi tanah swasta tetapi kerajaan dan DBKL akan berunding macam mana kita boleh capai satu jalan penyelesaian yang menjadi harmoni kepada semua pihak.

“Memanglah kami sudah ada beberapa pilihan namun kerajaan kena bincang dengan pihak kuil. Apa yang penting hari ini saya beri jaminan tidak akan ada perobohan kuil daripada kerajaan,” kata Ahli Parlimen Sungai Buloh itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS