ADS
Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pegawai imigresen mengaku tak bersalah terima rasuah selama 5 tahun

Seorang pegawai imigresen dihadapkan dengan 22 pertuduhan menerima rasuah di Mahkamah Sesyen Kuantan di Pahang, hari ini. 

Kamarul Amilin Zainal Ariffin, 39, yang bertugas di Jabatan Imigresen Malaysia Temerloh, didakwa menerima suapan secara bulanan sejak 2018 hingga 2022.

Dia dituduh menerima rasuah berjumlah antara RM900 hingga RM3,000 setiap bulan daripada pemilik pusat hiburan, rumah urut refleksologi, pemilik kebun dan kilang kayu di sekitar daerah Temerloh, Raub dan Cameron Highlands. 

Suapan itu adalah bagi mengelak premis terbabit daripada pemeriksaan dan serbuan imigresen. 

Difahamkan jumlah keseluruhan suapan yang diterima tertuduh adalah sebanyak RM47,600. 

ADS

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibaca di hadapan hakim Sazlina Safie. 

Pendakwaan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan itu dibuat Timbalan Pendakwa Raya SPRM Kamariah Seman. 

Tertuduh diwakili peguam Syed Azimal Syed Abu Bakar. 

Mahkamah memutuskan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain mengarahkan tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah. 

Hakim menetapkan 29 April ini untuk sebutan semula kes.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS