ADS
Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DBKL beri komitmen tidak ada perobohan kuil hingga pemindahan
Diterbitkan:  Mar 20, 2025 11:08 AM
Dikemaskini: 3:26 AM

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi komitmen tidak akan melakukan sebarang aktiviti perobohan ke atas sebuah kuil Hindu bersejarah di Kuala Lumpur.

Dalam satu kenyataan, DBKL sebaliknya berkata pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman akan dilaksanakan secara telus, adil dan membabitkan perbincangan dengan pihak berkepentingan bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya.

“DBKL telah mengenal pasti lokasi baharu untuk pemindahan rumah ibadat terlibat bagi memastikan penganut Hindu dapat terus menjalankan aktiviti keagamaan mereka dengan selesa dan harmoni.

“Proses pemindahan akan dilakukan secara telus dan adil, serta membabitkan perbincangan dengan pihak berkepentingan bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya.

ADS

“DBKL juga memberi komitmen untuk tidak akan melakukan sebarang aktiviti perobohan struktur kuil di tapak tersebut dan kuil tersebut boleh beroperasi seperti biasa sehingga proses pemindahan selesai,” katanya.

Semalam, Malaysiakini melaporkan bekas presiden Majlis Peguam Malaysia Ambiga Sreenevasan dan kumpulan hak asasi manusia, Lawyers for Liberty (LFL) dijadual mengadakan sidang media hari ini berhubung rancangan perobohan kuil Hindu yang bersejarah bagi memberi laluan kepada pembinaan masjid.

Menurut LFL, DBKL memberikan kebenaran merancang kepada sebuah syarikat swasta untuk membina masjid di tapak kuil itu.

Dalam jemputan akhbar, LFL berkata: "Kerajaan, melalui DBKL, memberi kebenaran merancang untuk sebuah masjid dibina oleh syarikat swasta di tapak kuil."

Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang terletak di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, dilaporkan berusia 130 tahun, iaitu sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan.

DBKL dalam kenyataan yang sama menyebut tanah yang menempatkan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman itu dimiliki oleh sebuah syarikat swasta.

“Projek itu merupakan cadangan oleh syarikat swasta berkenaan selaku pemilik tanah yang sah dan bukan daripada pihak kerajaan.

“Walau bagaimanapun, DBKL selaku pihak yang diamanahkan oleh kerajaan telah mengambil langkah proaktif untuk tampil membantu mencari jalan terbaik buat semua pihak terlibat, dan secara tidak langsung mengelakkan diskriminasi terhadap mana-mana kaum.

“DBKL memberi jaminan bahawa setiap langkah yang sedang dan bakal diambil adalah selaras dengan prinsip kebebasan beragama seperti dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS