PAS menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mengecam insiden-insiden penghinaan terhadap agama Islam.
Gesaan itu disuarakan Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari susulan kecaman Anwar terhadap insiden terbaru di Johor Bahru, di mana seorang bukan Muslim ditampar kerana makan di khalayak ramai pada siang hari di bulan Ramadan.
Fadhli berkata walaupun insiden itu "tidak boleh diterima sama sekali", dia beranggapan ia adalah kes terpencil.
“Namun, satu perkara yang saya ingin cadangkan agar mendapat perhatian perdana menteri ialah penghinaan terhadap Islam.
“Ia semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini sama ada oleh orang bukan Islam mahupun orang Islam sendiri,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Fadhli membangkitkan beberapa insiden, antaranya satu video tular yang memaparkan seorang warga Malaysia yang tinggal di luar negara menghina Islam.
Terbaru, dia berkata ada seorang pengguna Facebook yang membuat komen yang kelihatan menghina Nabi Muhammad.
“Ini merupakan satu penghinaan yang bersiri dan seolah-olah dilakukan dengan perancangan yang sangat sistematik untuk dilontarkan satu persatu.
“Ia sebenarnya lebih serius berbanding tindakan spontan seorang warga emas yang bertindak di luar kawalan seperti di Johor itu.
“Insiden-insiden penghinaan terhadap Islam ini juga memerlukan perhatian dan kecaman daripada pihak perdana menteri. Mohon mencadang, untuk perhatian Pejabat Perdana Menteri (yang mengadakan sidang media setiap hari),” katanya lagi.
Semalam, Setiausaha Akhbar Kanan Anwar, Tunku Nashrul Abaidah, dalam satu sidang media memaklumkan bahawa perdana menteri mengecam insiden di Johor Bahru dan menegaskan bahawa tindakan agresif sedemikian dihentikan segera.