ADS
mk-logo
Berita
‘Gesa penyokong tukar alamat mengundi, bukti PAS tak cukup sokongan’
Diterbitkan:  Mar 19, 2025 8:39 PM
Dikemaskini: 1:08 PM

Gesaan PAS agar penduduk berasal dari negeri lain yang menetap di Selangor agar menukar tempat mengundi mereka ke negeri itu disifatkan sebagai terdesak.

Naib Pengerusi PH Selangor Azli Yusof berkata gesaan itu jelas menunjukkan PAS tiada sokongan yang mencukupi di Selangor.

“Hakikatnya, pengundi semakin bijak dan mula sedar akan kesilapan mereka dalam mengundi PN pada pilihan raya negeri (PRN) yang lalu.

“Rekod pentadbiran PN di negeri yang mereka kuasai sebaliknya telah menimbulkan banyak persoalan dan kekecewaan di kalangan rakyat kerana tidak banyak membawa perubahan. 

ADS

“Malah, banyak bersandar kepada sokongan dan bantuan dari kerajaan persekutuan,” kata Azli yang juga timbalan pengerusi Amanah Selangor dalam kenyataan hari ini.

Ab Halim Tamuri (dua dari kanan)

Pada 13 Mac lalu, Pesuruhjaya PAS Selangor Ab Halim Tamuri menyuarakan harapan agar penyokong PAS yang bermastautin di Selangor dapat mendaftar untuk mengundi di sana menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Ab Halim berkata ia khususnya bagi penduduk Selangor yang berasal dari negeri-negeri yang ditadbir PAS, seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Jika ia dapat dilakukan, katanya lagi, tidak mustahil PN mampu menawan negeri itu pada PRU akan datang.

ADS

Mengulas lanjut, Azli yang juga ahli Parlimen Shah Alam menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memantau sebarang usaha pemindahan alamat pengundi yang dilihat mencurigakan agar proses pilihan raya kekal telus dan berintegriti. 

“Pengundi juga dinasihatkan untuk berpegang teguh kepada prinsip demokrasi yang bersih dengan mendaftar di tempat kediaman sebenar mereka, bukan atas desakan politik pihak tertentu,” katanya lagi.

Terdahulu, gesaan Tamuri turut mendapat kritikan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi R Ramanan, yang menyifatkannya sebagai tidak masuk akal.

Dia berkata PAS sepatutnya memberi tumpuan kepada khidmat di kawasan yang dimenangi mereka, bukan mencari pengundi dari negeri lain untuk menentukan keputusan pilihan raya di Selangor.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS