Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah mengarahkan kabinet untuk meneliti cadangan agar jawatan perdana menteri dihadkan kepada 10 tahun.
Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata, Anwar membuat arahan itu ketika mesyuarat kabinet hari ini.
“Sebarang perkara menjurus ke arah pindaan perlembagaan perlu diberi perhatian cukup mendalam.
“Perdana menteri telah minta hal ini diteliti dan dikaji,” katanya dalam sidang media hari ini.
Fahmi berkata walaupun cadangan itu ada dibincangkan dalam mesyuarat hari ini, perbincangan tentangnya masih di peringkat awal memandangkan ia adalah proses yang rumit.
Berucap di Kongres Kebangsaan DAP ke-18 pada Ahad lalu, Anwar berkata dia setuju dengan cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun.
Anwar yang juga pengerusi PH berkata, walaupun parti dalam gabungan itu setuju dengan perkara itu, kerajaan masih perlu mendapatkan sokongan dua pertiga di Parlimen bagi meluluskan pindaan perlembagaan yang diperlukan.
Bagaimanapun Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyelar pihak yang menyokong cadangan itu.
Tanpa menamakan sesiapa secara khusus, Abdul Hadi menyifatkan mereka sebagai tidak mempedulikan dasar lebih penting, iaitu “mencapai wawasan dunia dan akhirat yang kekal mengikut ketetapan Allah yang mewajibkan Islam memimpin negara”.
Sementara itu, Fahmi berkata mesyuarat kabinet hari ini tidak membincangkan usaha pemisahan kuasa peguam negara dan pendakwa raya.
Dia juga berkata media boleh mengarahkan pertanyaan mengenai perkara itu kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.
Pada 13 Mac, Azalina dilaporkan dalam kunjungan di London bagi mengkaji cadangan pemisahan kuasa kehakiman.
Ketika itu, Azalina berkata kunjungan itu menandakan fasa akhir kajian berhubung perkara itu.