Artis grafik Fahmi Reza, yang terkenal dengan karya satira berunsur politik, membidas SPRM berhubung skandal rasuah Sabah yang sedang berlaku.
Merujuk kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki sejak November lalu, Fahmi secara sinis menyamakan nasib rakyat Sabah dengan watak komedi kesayangan ramai, Mr Bean.
Dalam satu siri ilustrasi, di media sosial, dia meminjam imej Mr Bean yang menunggu sesuatu yang tidak kunjung tiba. Akhirnya Mr Bean mereput sehingga tinggal tulang rangka.
Garis masa itu bermula dari 17 Nov tahun lalu hingga 11 Mac tahun ini.
Pada 11 Mac, pengarah eksekutif Lawyers for Liberty (LFL) Zaid Malek menyerahkan sembilan klip video yang belum diedit kepada SPRM berhubung skandal itu.
Ketika itu, Azam berkata rakaman suntingan sebelum ini yang diterbitkan oleh Malaysiakini sejak November lalu tidak boleh dijadikan bukti.
Video tersebut disiarkan ke portal berita ini oleh seorang ahli perniagaan yang mendakwa dia telah merasuah beberapa Adun Sabah sebagai pertukaran untuk mendapatkan lesen carigali mineral.

Dia juga mendedahkan paparan mesej WhatsApp antara dirinya dengan ahli-ahli politik berkenaan urus niaga yang didakwa.
Selepas itu, ahli perniagaan berusia 36 tahun tersebut, yang dikenali sebagai "Albert", telah diarahkan ke SPRM sebanyak dua kali iaitu pada 12 dan 13 Mac untuk disoal siasat.
Selepas sesi keduanya, yang berlangsung selama 11 jam, peguamnya Mahajoth Singh berkata anak guamnya telah memberikan “bukti yang mencukupi” kepada penyiasat.
“Bukti yang mencukupi telah diberikan, yang menjadikan keterangan hampir mencecah 50 muka surat.
“Sebarang jenayah, terutama kes rasuah oleh penjawat awam, perlu disiasat dengan segera dan teliti. Kini, terpulang kepada SPRM untuk membuat tindakan,” kata Mahajoth.
Dalam hantaran berikutnya, Fahmi menggunakan urutan Mr Bean yang sama untuk menggambarkan bagaimana jalan raya di Sabah kekal berlubang walaupun ada janji untuk memperbaikinya menjelang pilihan raya negeri.