ULASAN | Tatkala menyaksikan pelbagai peristiwa di luar kawalan yang melanda masyarakat hari ini, saya segera kembali merenung perjuangan Rasulullah SAW dalam berdakwah.
Hari ini, ketika kita memperingati Nuzul al-Quran — hari turunnya al-Quran yang mulia sebagai panduan agung kepada umat Islam — wajarlah kita menghayati dengan mendalam bagaimana Rasulullah SAW menghadapi ujian getir dalam menyampaikan risalah kebenaran berpandukan wahyu Ilahi.
Dalam usaha menyebarluaskan ajaran Islam, baginda pernah dihina, difitnah, malah dicederakan hanya kerana membawa risalah Allah SWT. Nabi Muhammad SAW pernah dilemparkan batu sehingga berlumuran darah di bumi Ta'if, namun baginda kekal bersabar, tenang dan tidak sesekali bertindak dengan emosi.
Rasulullah SAW menunjukkan akhlak mulia kerana baginda sedar bahawa menjaga maruah agama memerlukan hikmah, kesabaran, dan kebijaksanaan, sebagaimana yang ditegaskan berulang kali di dalam al-Quran itu sendiri.
Ketika kaum Quraisy mengusir Nabi dari Kota Makkah, baginda tidak membalas dendam mahupun bertindak balas secara keras. Sebaliknya, Rasulullah terus berdoa agar musuh-musuhnya dikurniakan hidayah. Justeru, sempena memperingati Nuzul al-Quran hari ini, umat Islam seharusnya kembali meneladani sikap mulia baginda yang sentiasa meletakkan wahyu sebagai panduan tertinggi dalam menghadapi segala bentuk konflik dan provokasi dalam masyarakat.
Sesungguhnya al-Quran diturunkan bukan sekadar untuk dibaca, tetapi untuk dihayati dan diterjemahkan dalam setiap langkah kehidupan kita.
Tindakan melulu
Baru-baru ini masyarakat dikejutkan dengan tindakan seorang pengerusi surau yang ditahan reman selepas mencederakan seorang pelajar lelaki dalam satu perselisihan faham ketika memandu.
Insiden ini adalah gambaran mudah dalam menjelaskan bagaimana sikap tidak rasional, emosi melulu dan kurangnya pertimbangan menyebabkan imej agama Islam tercemar di mata masyarakat.

Walaupun perselisihan di jalan raya sering berlaku, namun menggunakan kekerasan fizikal untuk menyelesaikan masalah hanyalah mencerminkan sikap lemah, tidak matang dan jauh menyimpang daripada nilai-nilai Islam yang sebenar.
Tidakkah pengerusi surau tersebut sedar bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Sesiapa yang tidak menyayangi, maka dia tidak akan disayangi.” (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)
Islam tidak pernah memberi ruang untuk bertindak secara agresif dan melampaui batas. Individu yang gagal mengawal emosi bukan sahaja mencederakan orang lain, malah secara langsung mencalar maruah dan keperibadian individu yang pada akhirnya membunuh imej Islam tanpa sedar.
Insiden kedua pula menyaksikan seorang warga emas bertindak angkuh dengan menampar seorang pemuda bukan Islam yang makan secara terbuka di bulan Ramadan.
Walaupun tindakan pemuda tersebut dianggap kurang peka atau sensitif terhadap masyarakat Islam, ia tidak sesekali memberi lesen kepada mana-mana individu untuk bertindak biadap dan ganas.
Dalam Surah An-Nahl, ayat 125, Allah SWT dengan tegas mengingatkan:
“Serulah kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik, serta bantahlah mereka dengan cara yang terbaik.”
Sekiranya warga emas itu mahu menegur, beliau sepatutnya mendidik dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan, bukan menunjukkan kuasa melalui tamparan kasar yang menjatuhkan maruah diri sendiri serta mencalar imej Islam.

Tindakan sebegini tidak mencerminkan ketinggian ajaran Islam, tetapi memperlihatkan kejahilan, keangkuhan, serta sikap melampau yang hanya menjauhkan masyarakat daripada menghormati Islam sebagai agama yang penuh rahmat.
Tindakan yang kasar sebegini bukan sahaja gagal membetulkan keadaan, bahkan mengeruhkan hubungan sesama manusia serta menanam benih kebencian dalam masyarakat majmuk. Islam tidak pernah mengajar penganutnya untuk menjadi angkuh, apatah lagi bertindak agresif dalam berdakwah.
Kedangkalan individu
Dua peristiwa ini, meskipun berlainan situasi dan latar belakang, hakikatnya berpunca daripada masalah yang sama—kegagalan bertindak secara rasional, matang, dan bijaksana. Setiap individu Muslim perlu sedar bahawa setiap tindakan mereka sentiasa dinilai, diperhatikan, dan dijadikan kayu ukur oleh masyarakat bukan sahaja terhadap diri sendiri, malah lebih penting, terhadap agama Islam yang suci ini.
Islam adalah agama yang mengangkat hikmah, kasih sayang, serta kebijaksanaan sebagai tunjang utama dalam dakwah dan kehidupan. Tidak pernah sekalipun Islam menuntut pembelaan secara melulu, ganas atau agresif. Setiap kali umat Islam gagal mengawal emosi atau bertindak tanpa pertimbangan akal yang waras, mereka secara langsung menjadi penyumbang kepada kerosakan imej Islam di mata masyarakat dunia.
Mereka jugalah yang membuka ruang untuk agama ini dipandang serong, dihina, malah disalah anggap sebagai agama yang memupuk keganasan. Jangan kerana sikap seorang dua yang tidak matang ini, seluruh umat Islam dan agama Islam menerima kesan buruknya.
Islam itu tinggi dan mulia dengan nilai-nilai yang diajarkan oleh Rasulullah SAW—seorang manusia agung yang tidak pernah tunduk kepada provokasi, tidak membalas kejahatan dengan kejahatan, dan tidak bertindak berdasarkan dendam serta emosi semata-mata. Oleh sebab itu, setiap Muslim perlu menghayati akhlak baginda, mencontohi kebijaksanaan dan kesabaran Rasulullah dalam menghadapi sebarang konflik atau provokasi.
Masyarakat di Malaysia — tanpa mengambil latar belakang kaum dan agama, wajib bertindak secara rasional, matang, dan penuh berhemah dalam setiap urusan kehidupan. Bagi umat Islam sendiri, adalah satu keperluan untuk meningkatkan pengawalan emosi, meningkatkan ilmu serta akhlak, dan menjadikan Rasulullah SAW sebagai panduan utama dalam bertindak.
Jangan cemari kesucian agama Islam dengan kedangkalan, keangkuhan, dan sikap melampau diri sendiri. Islam itu agama mulia yang dipenuhi rahmat dan hikmah; jangan sesekali hinakannya dengan kedangkalan serta tindakan jahil yang merugikan seluruh umat.
ASHRAF HADI ialah Ketua Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Angkatan Muda Keadilan (AMK).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.