ADS
mk-logo
Berita
Saifuddin nafi Zakir Naik dapat kewarganegaraan
Diterbitkan:  Mar 18, 2025 6:35 PM
Dikemaskini: 11:02 AM

Gambar yang memaparkan pendakwah kontroversi Zakir Naik menerima gelaran kehormat daripada bekas presiden Perkasa Ibrahim Ali telah diambil enam tahun lalu dan tidak berkaitan dengan sebarang anugerah kewarganegaraan.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan hantaran di media sosial itu sebagai palsu.

“Ia hantaran palsu yang dibuat lebih enam tahun lepas,” kata Saifuddin seperti dilapor kepada FMT.

Laporan itu turut memetik Ibrahim menjelaskan bahawa gambar berkenaan diambil pada 2017 apabila Perkasa memberi Zakir anugerah atas sumbangannya kepada Islam.

“Ini fitnah semata-mata, bertujuan kelirukan rakyat Malaysia dan provokasi atas dasar politik,” kata Ibrahim.

ADS

“Sebagaimana yang kita tahu, Zakir pemastautin tetap. Beliau beritahu saya, beliau tak mahu kewarganegaraan (Malaysia), dan sedang tunggu masa sesuai untuk segalanya selesai sebelum pulang ke India,” kata Ibrahim lagi.

Hantaran itu dikongsi secara meluas dalam talian tidak lama selepas Saifuddin mengesahkan di Dewan Rakyat bahawa sekatan polis terhadap Zakir tidak lagi berkuat kuasa, dan warga India itu memegang tauliah rasmi untuk mengajar agama Islam di Perlis.

Sebelum ini, pada Ogos 2019, polis mengeluarkan larangan di seluruh negara yang menghalang Zakir, yang dikehendaki kerajaan India atas dakwaan ucapan kebencian dan aktiviti berkaitan keganasan, daripada menyampaikan syarahan umum di Malaysia.

Larangan itu dikenakan selepas dia didakwa membuat kenyataan kontroversi mengenai penganut Hindu dan Cina di Malaysia semasa kuliah di Kota Bharu, Kelantan, pada 3 Ogos 2019.

Sebelum larangan di seluruh negara, tujuh negeri telah melarang Zakir daripada memberi syarahan: Melaka, Johor, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Sarawak, dan Perlis.

Ogos lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, selagi Zakir tidak menimbulkan masalah, dia tidak mempertimbangkan permintaan India untuk mengekstradisi pendakwah itu.

Zakir mendapat status pemastautin tetap ketika pentadbiran BN pada 2015.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS