GLOBAL | Tentera Israel hari ini mendakwa mereka melancarkan serangan udara ke atas Semenanjung Gaza, lapor Anadolu Ajansi.
"Berpandukan arahan daripada pihak atasan, IDF (Pasukan Pertahanan Israel) dan Shin Bet melancarkan serangan besar-besaran terhadap sasaran Hamas di seluruh Semenanjung Gaza," kata jurucakap tentera, Avichay Adraee dalam hantaran di platform X.
Media tempatan yang memetik perkhidmatan kecemasan Palestin melaporkan sekurang-kurangnya 110 orang terbunuh dalam serangan itu.
Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz mengarahkan tentera untuk mengambil tindakan tegas terhadap Hamas di Gaza.
Israel mendakwa tindakan itu diambil susulan keengganan Hamas membebaskan tawanan serta penolakan terhadap semua cadangan yang dikemukakan oleh Wakil Khas Presiden AS Steve Witkoff dan para perantara.
- Bernama/Anadolu