ADS
mk-logo
Berita
Had tempoh PM: Jangan jadikan bahan politik perkauman sempit - Anwar
Diterbitkan:  Mar 17, 2025 6:10 PM
Dikemaskini: 10:10 AM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengingatkan pemimpin pembangkang untuk berdebat secara sihat ketika membincangkan cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal.

Menurut Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, Anwar mengingatkan agar pembangkang tidak menjadikan niat murni itu sebagai bahan politik perkauman sempit.

"Langkah tersebut bagi memastikan kesinambungan pentadbiran yang bersih serta sistem yang lebih teratur dan mengelak berlakunya pemusatan kuasa yang berisiko menjadi ruang penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

"Malah terdapat juga beberapa negara yang telahpun melaksanakan pendekatan ini seperti negara jiran Indonesia sebagai contoh.

"Selain daripada itu, langkah menghadkan tempoh keperdanamenterian seseorang pemimpin juga mengambil kira landskap geopolitik hari ini dan masa depan yang memerlukan iltizam semua pihak memberi ruang kepada nafas-nafas baharu dan barisan pelapis kepimpinan negara.

ADS

"Perdana Menteri turut mengingatkan segelintir pihak daripada blok pembangkang agar tidak menjadikan niat murni ini sebagai bahan politik perkauman sempit dan dangkal," kata Nashrul dalam taklimat harian Pejabat Perdana Menteri.

Tambahnya lagi, langkah mengenghadkan tempoh jawatan perdana menteri tidak bercanggah prinsip-prinsip asas perlembagaan, malah merupakan langkah penting dalam menjamin kematangan demokrasi negara.

Nashrul berkata, perdana menteri juga menyeru mana-mana ahli parlimen yang menentang cadangan mengehadkan jawatan perdana menteri agar membaca buku ditulisnya, Membangun Bersama Madani, sebelum mengkritik secara semberono.

ADS

Semalam, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, mencadangkan kerajaan melaksanakan beberapa reformasi yang masih belum ditunaikan, termasuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri dan pemisahan kuasa kehakiman.

Kenyataan itu menerima reaksi berbaur perkauman daripada Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden, yang melihat cadangan tersebut sebagai percubaan "minoriti" untuk menentukan hala tuju "majoriti" dengan merombak Perlembagaan.

Sementara itu, seorang lagi pemimpin PAS, Syahir Sulaiman yang juga Ahli Parlimen Bachok, menyatakan bahawa topik ini boleh dibincangkan, tetapi dengan syarat jawatan perdana menteri dikhususkan untuk orang Islam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS