ADS
Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Had jawatan PM maksimum 10 tahun seiring kerangka reformasi - Anwar
Diterbitkan:  Mar 17, 2025 5:27 PM
Dikemaskini: 9:27 AM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyifatkan cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun, adalah seiring dengan visi dan kerangka dasar reformasi yang ditekankan beliau dalam gagasan ‘Membangun Negara Madani’ dan ia bukan perkara baharu.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata langkah tersebut, bagi memastikan kesinambungan pentadbiran yang bersih serta sistem lebih teratur dan mengelak berlakunya pemusatan kuasa yang berisiko menjadi ruang penyelewengan serta penyalahgunaan kuasa.

Malah beliau berkata terdapat beberapa negara yang telah melaksanakan pendekatan itu seperti negara jiran, Indonesia.

“Selain daripada itu, langkah mengehadkan tempoh keperdanamenterian seseorang pemimpin juga mengambil kira landskap geopolitik hari ini dan masa depan yang memerlukan iltizam semua pihak memberi ruang kepada nafas-nafas baharu dan barisan pelapis kepimpinan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia, hari ini.

ADS

-- LAGI

TAKLIMAT-JAWATAN 2 KUALA LUMPUR

Tunku Nashrul berkata Perdana Menteri turut mengingatkan segelintir pihak daripada blok pembangkang agar tidak menjadikan niat murni itu sebagai bahan politik perkauman sempit dan dangkal.

Beliau berkata roh dan sifat jawatan perdana menteri itu sudah terang lagikan bersuluh seperti mana termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tunku Nashrul berkata cadangan mengehadkan tempoh jawatan itu tidak bercanggah dengan prinsip asas tersebut, malah ia langkah penting dalam menjamin kematangan demokrasi negara.

Pada masa sama, Anwar meminta mana-mana Ahli Parlimen yang mempersoalkan perkara berkenaan supaya membaca sebelum mengkritik secara semberono.

“Baca dan hadam buku tulisan Anwar Ibrahim yakni ‘Membangun Negara Madani’. Sila rujuk muka surat 181, di bawah tajuk Dasar Keutamaan Untuk Malaysia Yang Lebih Baik,” katanya.

-- LAGI

ADS

TAKLIMAT-JAWATAN 3 (AKHIR) KUALA LUMPUR

Tunku Nashrul berkata justeru, Perdana Menteri menyarankan agar ia dibahaskan dengan sihat dan penuh rasa tanggungjawab serta memandang kepada cabaran masa hadapan, selain menjemput semua pihak untuk memberikan input ke arah sebuah sistem yang telus dan adil.

Dalam taklimat hari ini juga Tunku Nashrul memaklumkan perkara berkaitan lawatan Anwar ke negeri Selangor, Perak dan Negeri Sembilan pada minggu lepas, yang menerusi lawatan itu Perdana Menteri sekali lagi meminta kerjasama berterusan dan sinergi baharu antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan negeri.

Beliau berkata Perdana Menteri percaya siri pertemuan dan perbincangan antara kedua-dua pihak penting bagi mengemas kini serta menambah baik perkhidmatan buat rakyat keseluruhannya.

Antara yang menjadi tumpuan dan fokus ialah soal kebajikan rakyat iaitu dari segi infrastruktur, pendidikan, kesihatan, projek tebatan banjir dan jalan raya, selain beberapa isu lain yang akan terus dipantau agensi terlibat.

Tunku Nashrul turut memaklumkan lawatan Anwar seterusnya pada minggu ini ialah ke Pulau Pinang, Terengganu dan Sabah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS