Seorang ahli parlimen berpengaruh PAS hari ini memberi isyarat bahawa parti itu bersedia berbincang dengan kerajaan mengenai cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri.
Ahli Parlimen Bachok Syahir Sulaiman bagaimanapun perlulah menetapkan syarat tertentu sebelum ia boleh dibincangkan.
Dikenali dengan panggilan nama Syahirnomic di media sosial ekoran dianggap antara pakar ekonomi PAS, dia berkata, pindaan yang akan dibawa itu mesti menetapkan bahawa seseorang perdana menteri yang dilantik mestilah beragama Islam.
“Perlembagaan: Hadkan (tempoh) perdana menteri hanya dua penggal boleh dibincangkan.
“Tetapkan (syarat) perdana menteri mestilah beragama Islam, boleh kita turut bincangkan,” katanya melalui hantaran ringkas di media sosial awal petang ini.
Setiausaha Politik Abdul Hadi Awang itu juga menambah, syarat tersebut adalah wajar ditetapkan kerana Islam menjadi agama rasmi negara.
“Atas kewajaran, atas keperluan (bahawa) Islam agama rasmi persekutuan,” katanya lagi.
Syahir yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS berkata demikian sebagai mengulas cadangan Putrajaya untuk mengehadkan tempoh seseorang menjadi perdana menteri kepada 10 tahun – atau dua penggal – saja.
Semalam Pemuda PN menzahirkan respon awal dengan memberi gambaran mereka tidak senang terhadap cadangan berkenaan.
Cadangan itu asalnya dinyatakan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, semasa berucap di Kongres Tahunan DAP di Shah Alam, Selangor.
Namun untuk membolehkan langkah mengehadkan tempoh itu dilaksanakan, perlembagaan perlu dipinda dan mendapat sokongan daripada dua per tiga ahli Dewan Rakyat.
Ketua Dewan Pemuda PN yang juga Ketua Pemuda PAS Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azamudden, berkata kerajaan kini gigih mahu meminda perlembagaan agar ia dapat “mengikut selera nafsu” Putrajaya.
“Inilah keadaan negara kita sekarang. Nasib kita yang majoriti ditentukan oleh mereka yang asalnya minoriti,” tulisnya di Facebook.
Mengiringi kenyataan Ahli Parlimen Alor Setar merangkap Ketua Pemuda PAS itu ialah laporan berita menyatakan gesaan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, agar cadangan Anwar berkenaan disokong oleh ahli parlimen.
Untuk membolehkan perlembagaan dipinda, usul berkenaan perlu mendapat sokongan sekurang-kurangnya 148 daripada 222 ahli Dewan Rakyat.
Pendirian dinyatakan Afnan Hamimi itu turut mendapat teguran daripada NGO pendesak pembaharuan pilihan raya, Bersih, dalam kenyataan mereka hari ini.