Ismail Sabri Yaakob tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya untuk menyambung proses memberi keterangan bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengannya.
Kenderaan membawa perdana menteri kesembilan itu tiba pada jam 9.52 pagi. Kehadirannya di Ibu Pejabat SPRM hari ini merupakan kali keempat bagi tujuan memberi keterangan.
Dia yang juga Ahli Parlimen Bera disiasat berkaitan perbelanjaan dan perolehan dana untuk promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia semasa tempoh menjadi perdana menteri antara Ogos 2021 hingga Nov 2022.
Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Pada 3 Mac lalu Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dilaporkan berkata Ismail Sabri ialah suspek bagi siasatan kes tersebutu susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang, serta 16 kilogram jongkong emas di dalam sebuah rumah selamat.
Ia ditemukan dalam serbuan oleh SPRM.
SPRM juga dilaporkan menyita 13 akaun bank bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Ismail Sabri tampil memberi keterangan kepada SPRM pada Jan 2024 berhubung isu membabitkan penggunaan wang sebanyak RM700 juta untuk publisiti kerajaan semasa pentadbirannya.
Pada 10 Feb lalu Ismail Sabri menghantar maklumat pengisytiharan harta sebelum keterangannya direkodkan pada 19 Feb.
Ismail Sabri sepatutnya hadir pada 5 Mac untuk memberi keterangan lanjut namun tidak dapat berbuat demikian ekoran masalah kesihatan.
Dia kemudian hadir untuk merakam percakapan selepas tempoh cuti sakit tamat pada 12 Mac lalu.
Sebelum ini, SPRM merekodkan keterangan 32 saksi dan empat bekas pegawai Ismail Sabri yang ditahan sebelum ini.
- Bernama