ADS
mk-logo
Berita

ULASAN | Saya meneliti beberapa komen daripada pembangkang yang cuba mengelirukan kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, dalam isu mengehadkan jawatan perdana menteri kepada dua penggal.

Antaranya ialah seperti apa yang ditulis oleh Ketua Pemuda PN, Afnan Hamimi Taib Azamudden, menerusi hantaran Facebook semalam.

Pandangan Afnan Hamimi tidak tepat sama sekali apabila dia membingkaikan kenyataan Loke secara negatif.

Afnan Hamimi cuba menyebarkan ketakutan tidak berasas khususnya apabila beliau menulis: "Inilah keadaan negara kita sekarang. Nasib kita yang majoriti ditentukan oleh mereka yang asalnya minoriti" pada akhir hantaran tersebut.

ADS

Maksud kenyataan Setiausaha Agung DAP terlalu jauh daripada apa yang digambarkan oleh Afnan Hamimi.

Tidak dapat dipastikan sama ada Afnan sengaja hendak mencipta propaganda negatif murahan, atau dia benar-benar naif dan bebal.

Hakikatnya, apa yang dinyatakan Loke dan dipersetujui oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, bertujuan untuk mengelakkan pentadbiran seseorang berlangsung terlalu lama sehingga mungkin bertukar menjadi diktator atau kuku besi.

Ia juga bagi mengelak pemusatan kuasa yang terlalu panjang.

ADS

Pendekatan yang dicadangkan boleh menutup kemungkinan berlakunya 'mafsadah' (kerosakan), salah guna kuasa serta kezaliman kesan daripada terlalu lama berada di tampuk kuasa.

Idea mengehadkan tempoh seseorang menjadi perdana menteri ini bukan perkara baru. Beberapa negara luar telahpun melaksanakan pendekatan seumpama ini. Misalnya Indonesia yang mengehadkan tempoh dua penggal pilihan raya untuk presiden mereka. Begitu juga AS.

Namun hal ini juga perlu diperkuat dengan pembaharuan lain, seperti pengasingan kuasa kehakiman agar wujud semak imbang yang lebih berkesan.

Sebab itu Loke turut nyatakan sokongan terhadap pindaan perlembagaan untuk memisahkan kuasa di antara peguam negara dan pendakwa raya.

Inilah antara inti pati penting reformasi institusi yang diperjuangkan oleh Anwar dan idukung oleh DAP serta parti-parti lain dalam PH.

Namun nampaknya usaha ini gagal difahami oleh pembangkang. Lebih malang lagi, pembangkang gagal keluar dari neraca pemikiran sempit perkauman serta masih tidak mampu memahami sesuatu isu secara holistik.


SHEIKH UMAR BAGHARIB ALI ialah Naib Pengerusi DAP Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS