ADS
mk-logo
Berita
Saintis China bangunkan alat ramal kanser hati berulang
Diterbitkan:  Mar 17, 2025 8:49 AM
Dikemaskini: 12:49 AM

Sekumpulan penyelidik China membangunkan alat kecerdasan buatan (AI) yang mampu meramal risiko kanser hati berulang dengan ketepatan 82.2 peratus, menurut satu kajian yang diterbitkan baru-baru ini dalam jurnal Nature.

Kanser hati merupakan punca ketiga utama kematian berkaitan kanser di dunia, dengan kadar berulang pascapembedahan sehingga 70 peratus.

Meramalkan berulangnya kanser tersebut menjadi cabaran utama dalam bidang perubatan.

Diketuai Sun Cheng daripada Universiti Sains dan Teknologi China, lapor Xinhua, pasukan penyelidik terbabit membangunkan sistem pemarkahan TIMES yang mengukur corak pengagihan spatial sel imun dalam persekitaran mikro tumor bagi menilai kemungkinan kanser berulang.

TIMES merupakan alat pertama di dunia yang mengintegrasikan data imun spatial untuk meramal kekerapan kanser hati berulang.

ADS

Kajian itu menunjukkan bahawa organisasi spatial sel imun – dan bukan sekadar bilangannya – yang akan menentukan hasil klinikal.

Dengan menggabungkan transkriptomik spatial, proteomik, multispectral immunohistochemistry dan analisis spatial berasaskan AI, pasukan penyelidik itu membangunkan kaedah baru untuk menilai persekitaran mikro tumor.

Sistem itu dilatih menggunakan sampel tisu kanser hati daripada 61 pesakit.

ADS

Para penyelidik juga membuka akses kepada versi dalam talian TIMES secara percuma, membolehkan pengguna di seluruh dunia memuat naik imej pewarnaan patologi untuk mendapatkan penilaian risiko segera.

Sun berkata pasukannya berhasrat menjadikan TIMES sebagai alat perubatan inovatif yang membantu doktor mengoptimumkan rawatan secara peribadi, terutama di kawasan dengan sumber terhad.

Mereka kini bekerjasama dengan rakan industri bagi menstandardkan aplikasi klinikal sistem itu.

- Bernama/Xinhua


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS