DAP akan melonggarkan syarat berhubung penerimaan anugerah atau darjah kebesaran dalam kalangan wakil rakyat parti itu, kata Setiausaha Agungnya Anthony Loke.
Beliau berkata setiap tawaran penganugerahan darjah kebesaran akan diteliti kes mengikut kes oleh Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang akan menentukan syarat berkaitan perkara berkenaan.
“Saya tahu isu ini telah lama hangat. Sebelum ini kita ada dasar itu tetapi setelah hampir 17 tahun dalam pelbagai kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan, sudah tentu syarat ini perlu dilihat semula, tidak boleh terlalu ketat kerana ada kalanya Sultan sendiri yang (mahu) menganugerahkan darjah kebesaran kepada wakil rakyat kita.
“Contohnya Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah secara terbuka mahu menganugerahkan darjah kebesaran Datuk kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan Ng Suee Lim yang sudah lima penggal (sebagai wakil rakyat),” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Kongres Kebangsaan DAP ke-18 di Pusat Konvensyen IDCC Shah Alam di Shah Alam hari ini.
Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Pengerusi DAP Kebangsaan Lim Guan Eng, Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu, Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick dan Naib Presiden PKR Senator K. Saraswathy.
Sementara itu, beliau berkata DAP akan mewujudkan satu mekanisme penilaian calon pilihan raya yang lebih sistematik dan telus dalam mendepani sebarang permasalahan dalaman parti pada masa hadapan.

Menerusi mekanisme itu, Loke berkata mereka yang ingin bertanding akan mengetahui penilaian yang dilaksanakan terhadap seseorang individu.
“Biar semua orang tahu mengapa mereka dipilih atau tidak dipilih dengan adanya sistem penilaian ini. Sudah tentu pimpinan tertinggi kena buat keputusan yang berasaskan sistem penilaian yang semua pihak mesti terima,” katanya.
Dalam pada itu, Loke mencadangkan untuk menginstitusikan Jawatankuasa Pemilihan Calon dalam perlembagaan parti supaya ia dapat memberi legtimasi kepada jawatankuasa pemilihan berkenaan.
Loke berkata kesemua pindaan itu tidak akan dilaksanakan hari ini dan perlu dibahas serta dibincangkan dalam mencari mekanisme terbaik dalam tempoh 18 bulan dari sekarang.
“Ini antara kerja yang perlu diselesaikan oleh eksekutif tertinggi serta CEC baharu dan bawa balik (hasil) untuk pindaan perlembagaan parti dalam Kongres Kebangsaan DAP pada 2026,” katanya.
Selain itu, Loke mencadangkan beberapa jawatan baharu untuk dimasukkan dalam perlembagaan parti iaitu jawatan Ketua Parlimen DAP yang mesti dilantik dalam kalangan bukan anggota pentadbiran, Pengarah Strategik, Pengarah Dasar dan Pengarah Pilihan Raya.
Loke berkata Ketua Wanita DAP turut dicadang untuk dilantik sebagai anggota tetap dalam Jawatankuasa Pemilihan Calon di samping pelaksanaan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
- Bernama