Dua remaja yang disyaki menjadi dalang merosak dan membakar kemudahan sebuah taman permainan berjaya dikesan petugas pejabat Ahli Parlimen Kepong selepas berlaku kejadian itu baru-baru ini.
Ahli parlimen terbabit, Lim Lip Eng, berkata kerosakan itu berlaku di taman permainan di Jalan 13/32, Jinjang Baru, Kepong.
Kata Lim dua individu berkenaan berusia 14 dan 17 tahun itu dan mereka ditemui atas bantuan maklumat awam. Mereka kemudian diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.
Semalam, Lim menawarkan ganjaran RM500 kepada sesiapa yang dapat memberikan maklumat mengenai kejadian pada 11 Mac itu. Berdasarkan maklumat awal pembekaran itu dilakukan oleh kira-kira 10 kanak-kanak berusia antara 10 hingga 15 tahun.
Dalam catatan Facebook yang dimuat naik kira-kira dua jam selepas gesaan dan tawaran hadiah itu, Lim berkata pembantunya dikenali sebagai Lai dan Hong telah menemukan dua remaja terbabit.
Dia juga mengingatkan ibu bapa supaya lebih peka kepada aktiviti anak masing-masing sambil menegaskan bahawa perbuatan merosakkan harta benda awam tidak boleh dibiarkan.
Kata Lim dia akan cuba mendapatkan peruntukan untuk membaik pulih taman permainan yang rosak itu – yang dinaik taraf tahun lalu dengan kos RM200,000 – daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Kebakaran dilaporkan telah memusnahkan gelongsor dan lantai getah taman permainan berkenaan.