Bekas Naib Presiden MCA Ti Lian Ker tampil memberi peringatan menjelang pemilihan DAP esok, agar sekutu mereka dalam kerajaan itu tidak mengulangi kesilapan ahli politik di bawah pentadbiran terdahulu.
Secara khusus, Ti berkata "kesilapan" itu adalah dengan melantik barisan muka baru dalam parti semata-mata untuk memuaskan hati Perdana Menteri Anwar Ibrahim atau Umno.
"DAP tidak seharusnya mengulangi kesilapan ahli politik terdahulu dalam kerajaan yang hanya berpura-pura untuk menyenangkan dan memuaskan hati perdana menteri dan majoriti semata-mata bagi memastikan dan melindungi kedudukan mereka sebagai 'Mandarin' dalam kerajaan," kata Ti kepada Malaysiakini.
Istilah "Mandarin" merujuk kepada pegawai dalam perkhidmatan awam zaman empayar China, tetapi menurut Ti, ada kumpulan yang lebih memberi tumpuan bagi membina "kerajaan kecil" mereka sendiri daripada berkhidmat untuk rakyat.
"Mereka (DAP) tidak seharusnya mencipta 'zon selesa' untuk diri sendiri dan mengabaikan tugas, tanggungjawab serta janji mereka kepada rakyat yang mereka wakili.
"DAP tidak boleh lari daripada asal-usul dan tanggungjawab mereka," kata veteran MCA itu lagi.
‘Lim masih diperlukan’
Ti berkata demikian bagi menyuarakan sokongannya terhadap pandangan veteran DAP Teng Chang Kim bahawa pengerusi DAP Lim Guan Eng masih diperlukan dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu.

"Saya menyokong pandangan Teng bahawa Lim masih diperlukan sebagai suara untuk golongan minoriti, khususnya masyarakat India dan Cina, yang mana telah lantang diperjuangkan DAP sejak penubuhannya.
"Janji untuk menyediakan padang yang sama rata dan konsep Malaysia yang lebih inklusif tidak boleh dilupakan begitu saja atau 'dipadamkan' dengan menyingkirkan pemimpin lama dan menggantikan mereka dengan generasi baru pemimpn, atau 'Mandarin', untuk menyenangkan PMX (Anwar) atau Umno," kata bekas senator itu lagi.
Ti turut menamakan Lim, bapanya yang juga veteran parti Lim Kit Siang, serta mendiang Karpal Singh sebagai "pembawa panji" DAP yang telah menarik perhatian pengundi Cina dan India sehingga menyebabkan peralihan sokongan daripada MCA dan MIC.
Terdahulu hari ini, Lim menyangkal spekulasi dia akan menarik diri daripada senarai 70 calon yang bertanding untuk merebut 30 kedudukan dalam CEC.