Seorang lelaki warga Indonesia didenda RM50,000 selepas mengaku bersalah atas tuduhan cuba menyeludup lima ekor burung sewah tahu (Asian koel) dengan menyembunyikannya di dalam paip PVC yang disimpan dalam bagasi daftar masuk pada 10 Mac lalu.
Abdul Latif, 48, mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Sepang, Ahmad Fuad Othman dengan bantuan jurubahasa.
Hakim turut menjatuhkan hukuman penjara enam bulan sekiranya Abdul Latif gagal membayar denda tersebut.
Menurut kertas pertuduhan, Abdul Latif ditahan ketika cuba menaiki penerbangan AirAsia di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Surabaya, Indonesia.

Burung tersebut ditemui selepas pegawai penguat kuasa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) melakukan pemeriksaan ke atas bagasinya di Pintu Q7 KLIA pada kira-kira jam 9 pagi.
Burung Asian Koel, yang terkenal sebagai burung kicau itu mempunyai permintaan tinggi di pasaran gelap Indonesia dan merupakan spesies yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
Abdul Latif didakwa mengikut Seksyen 68(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, yang melarang pemburuan, pemilikan atau penyimpanan mana-mana bahagian atau derivatif spesies hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya tanpa permit khas.
Kesalahan ini membawa hukuman minimum denda RM50,000 dan maksimum RM500,000 atau penjara sehingga tiga tahun.
Selaku bapa kepada tiga anak yang masih bersekolah, Abdul Latif dilaporkan media merayu agar denda dikurangkan kerana dia merupakan satu-satunya pencari nafkah keluarganya di Indonesia.
Namun, mahkamah menegaskan RM50,000 itu jumlah minimum denda bagi kesalahan tersebut, lapor Berita Harian.
Pendakwa Perhilitan, Suhaila Ab Rashid, dalam hujahnya menegaskan Abdul Latif telah melakukan jenayah serius dan harus dikenakan hukuman berat bagi memberi mesej tegas kepada penyeludup hidupan liar.
"Seperti yang sedia maklum, kes pemerdagangan hidupan liar semakin meningkat saban tahun, dan haiwan-haiwan ini tidak mampu bersuara untuk menentang kekejaman yang dilakukan terhadap mereka.
"Kes ini juga melibatkan kepentingan awam kerana hidupan liar merupakan khazanah tidak ternilai yang harus dipelihara," katanya.
Kes di KLIA
Tiga hari sebelum Abdul Latif ditahan di Terminal 2 KLIA, dua warga India berjaya menyeludup lima ekor primat, seekor musang dan dua ekor polecat menggunakan bagasi daftar masuk dari Terminal 1 KLIA ke Chennai, India.
Hidupan liar itu ditemui ketika pemeriksaan oleh Jabatan Kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Anna, Chennai.
Malangnya, dua ekor lutung kelabu Timur dan seekor musang putih Sumatera dilaporkan mati dalam perjalanan.
Kes ini sebahagian kes pemerdagangan hidupan liar yang melibatkan penumpang pesawat melalui KLIA sejak beberapa bulan lalu.
Pemeriksaan keselamatan bagi bagasi daftar masuk di KLIA dikendalikan sepenuhnya oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) manakala bagasi tangan diperiksa oleh Jabatan Kastam.
Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke menganggap kes penyeludupan ini isu serius dan mengarahkan MAHB memperketat serta menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penyeludupan hidupan liar melalui penerbangan.
Ketika dihubungi, MAHB enggan mengulas mengenai kes terbaru ini dan merujuk Malaysiakini kepada satu kenyataan media tahun 2023, yang menyatakan pihaknya bekerjasama dengan Perhilitan dalam memerangi pemerdagangan hidupan liar, termasuk dengan menyediakan dua ekor anjing pengesan.