ADS
mk-logo
Berita
Cari titik persamaan, jangan terheret dengan ketegangan - Pemuda Amanah
Diterbitkan:  Mar 14, 2025 9:42 AM
Dikemaskini: 1:42 AM

Susulan hampir 900 laporan polis dibuat terhadap pendakwah bebas Zamri Vinoth, seorang pemimpin Pemuda Amanah menggesa masyarakat agar tidak terbawa-bawa dengan “ketegangan dan salah faham”, sambil menekankan bahawa konflik seperti ini tidak menguntungkan sesiapa.

“Sebaliknya, marilah kita mencari titik persamaan dan memperkukuh semangat perpaduan demi keharmonian bersama,” kata Pengarah Biro Syariah Pemuda Amanah Hafiz Roslan dalam kenyataan.

Mengakui usaha Zamri dalam “mempertahankan Islam dengan penuh lantang”, Hafiz turut memuji timbalan presiden MIC M Saravanan atas kematangannya kerana tidak meneruskan perdebatan yang boleh mengeruhkan keadaan.

Pada masa sama, Hafiz menggesa para pendakwah Islam untuk berdakwah dengan hikmah.

ADS

“Berhujahlah dengan matang dan ihsan. Tiada Agama yang membenarkan penghinaan kepada agama lain.

“Terbukti Dakwah Rasulullah, para sahabat dan faqihul Islam adalah dengan akhlak, hikmah, ilmu, dan bukan persendaan. Berhujahlah dengan baik dan akhlak yang mulia,” katanya lagi.

Zamri Vinoth dan M Saravanan

Hafiz memberi peringatan bahawa dalam sebuah negara berbilang kaum, konflik boleh tercetus dengan mudah.

Justeru, katanya lagi, penting untuk mengelakkan salah faham yang berlarutan sehingga mencetuskan ketegangan antara agama.

ADS

“Pemuda Amanah ingin sekali mengajak semua individu yang terlibat untuk bertemu dan berdialog menggunakan saluran yang ada melalui Kementerian Perpaduan Negara,” katanya.

Pada Rabu lalu, Saravanan mengumumkan dia telah membatalkan rancangan debat dengan Zamri, yang sebelum itu menyamakan pembawa kavadi semasa perayaan Thaipusam dengan individu yang dirasuk atau berada dalam keadaan mabuk.

Ahli Parlimen Tapah itu berkata keputusan tersebut dibuat selepas perbincangan dengan kepimpinan MIC dan kerajaan dan demi keharmonian negara.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain sebelum ini mengesahkan sebanyak 894 laporan polis telah dibuat terhadap Zamri dan kertas siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.

Bagaimanapun, sejumlah pihak berpendapat bahawa Zamri telah berulang kali menghina agama Hindu tetapi masih tidak dikenakan tindakan undang-undang, sambil mendakwa pihak berkuasa bertindak tidak adil dalam menangani isu yang melibatkan agama selain Islam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS