Timbalan Menteri Dalam Negeri Shamsul Anuar Nasarah berkata polis meneruskan usaha mengesan dan membawa pulang anak kepada guru tadika M Indira Gandhi yang diambil oleh bekas suaminya K Patmanathan, juga dikenali dengan nama Islamnya Muhammad Riduan, pada 2009.
“Antara langkah diambil dan masih diteruskan termasuklah prosiding komital masih dijalankan setiap tiga bulan di Mahkamah Tinggi Ipoh.
"Prosiding ini bagi mengemas kini tindakan mengesan dan mencari K. Patmanathan dan Prasana Diksa.
“PDRM juga mendapat bantuan Polis Antarabangsa (Interpol), ekoran mangsa dipercayai berada di Thailand dan PDRM tidak pernah berdiam diri dan terus berusaha mengesan lokasi bekas suami serta anak Indira Ghandi yang dikatakan berada di luar negara,” katanya seperti dilapor Bernama.
Shamsul berkata demikian ketika menggulung perbahasan titah diraja di Dewan Negara bagi kementerian itu.
Pada Jun tahun lalu, Indira gagal dalam tindakan mahkamahnya untuk memaksa ketua polis dan polis menangkap Riduan dan mengembalikan anak perempuannya.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman guru tadika itu berhubung dakwaan polis gagal mematuhi perintah Mahkamah Tinggi Ipoh 2014.

Pesuruhjaya Kehakiman Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan memutuskan bahawa polis telah berusaha dan masih berusaha untuk mengesan Riduan, yang melarikan diri bersama Prasana ketika berusia 11 bulan pada 2009.
Mengenai perkara lain, Shamsul berkata polis menerima 489 laporan membabitkan 637 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia, khususnya sindiket penipuan pekerjaan yang menyasarkan golongan muda, sejak Januari hingga semalam.
Shamsul berkata daripada jumlah itu, 504 individu berjaya diselamatkan, manakala 133 masih terkandas di luar negara.
“Kementerian Dalam Negeri melalui PDRM Jabatan Imigresen Malaysia, Kementerian Luar serta Kementerian Kesihatan Malaysia telah menyelamat mangsa warganegara Malaysia yang terlibat dengan sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Myanmar.
“Proses menyelamat mangsa itu dilaksana secara berfasa melalui pintu masuk negara di Bukit Kayu Hitam pada 24 Feb 2025, melibatkan seramai 15 warganegara Malaysia dan pada 12 Mac melibatkan seramai 25 rakyat Malaysia,” katanya.
Shamsul berkata kesemua mangsa yang diselamatkan telah menjalani saringan kesihatan oleh Kementerian Kesihatan dan Agensi Antidadah Kebangsaan sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing.