Kerajaan perlu segera melancarkan siasatan penuh terhadap gangguan teknikal yang berlaku pada tren laluan LRT Kelana Jaya di Stesen Abdullah Hukum semalam, kata Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong.
“Permohonan maaf tanpa tindakan holistik tidak lagi boleh diterima. Respons perlahan daripada pihak berkuasa hanya memburukkan lagi kebimbangan tentang keselamatan penumpang,” katanya.
"Sudah tiba masanya untuk pihak berkenaan campur tangan segera dan melaksanakan rancangan tindakan yang menyeluruh untuk memulihkan kepercayaan terhadap sistem pengangkutan awam," katanya dalam kenyataan media.
Terdahulu, penumpang yang berada di dalam tren laluan LRT Kelana Jaya gempar dan dikejutkan dengan bunyi letupan dalam kejadian lewat malam tadi.
Rakaman berhubung insiden itu turut tular di media sosial.

Rapid Rail Sdn Bhd dalam kenyataan hari ini mengesahkan tren berkenaan mengalami gangguan teknikal yang menyebabkan kepulan asap kecil dan bunyi dentuman.
Menurut pengendali rel tersebut, insiden berlaku pada jam 10.43 malam dan berpunca daripada kerosakan pada komponen pemasangan pengumpul kuasa pada tren bernombor 84.
Bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan.
Rapid Rail turut memohon maaf atas kesulitan yang dialami para penumpang dan memberi jaminan akan melakukan penambahbaikan pada mutu perkhidmatannya.
Dalam pada itu Chong mengucapkan rasa syukur kerana tiada kecederaan berlaku dalam insiden itu, namun menegaskan keyakinan orang awam terhadap RapidKL terus merosot disebabkan gangguan perkhidmatan yang berulang.
Dia turut menggesa pihak berkuasa menjelaskan punca sebenar insiden tersebut.
"Adakah ini disebabkan kebakaran litar? Atau penyelenggaraan trek yang lemah? Kami menggesa agar kerajaan segera melancarkan siasatan penuh.
“RapidKL masih belum menjawab pelbagai persoalan di media sosial, hanya setakat permohonan maaf atas kesulitan yang berlaku,” katanya.