SPRM boleh memulakan siasatan tanpa perlu menunggu aduan rasmi, kata Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok kepada Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Ibrahim Ali.
Kok berkata demikian selepas Ibrahim mengkritik naib pengerusi DAP itu kerana tidak membuat laporan kepada SPRM mengenai bekas pegawainya yang didakwa terlibat dengan penyelewengan dana pusat khidmat.
Kok berkata ucapan parlimennya baru-baru ini menyeru SPRM untuk menyiasat bekas pembantunya atas dakwaan berkenaan sudah memadai.
“SPRM atau polis, atau mana-mana agensi kerajaan, boleh memulakan siasatan walaupun tanpa sebarang laporan (rasmi),” katanya kepada New Straits Times.
Ibrahim sebelum ini berkata Kok telah melanggar Akta SPRM apabila dia gagal membawa kes itu kepada perhatian agensi antirasuah itu.
Baru-baru ini, dua bekas kakitangan Kok telah ditahan SPRM sebagai sebahagian daripada siasatan berhubung dakwaan rasuah dalam pembekalan papan pintar interaktif untuk beberapa sekolah di Kuala Lumpur.
Kedua-dua mereka sebelum ini menguruskan kewangan dan dana kawasan di pusat khidmat Kok sebelum meletak jawatan tahun lalu.
Kok sebelum ini turut menjelaskan pada akhir Oktober tahun lalu, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Wilayah Persekutuan di bawah Jabatan Perdana Menteri telah menghubunginya untuk memaklumkan peruntukan kawasannya telah digunakan bagi menyalurkan RM99,000 kepada setiap 16 sekolah untuk pembelian papan pintar dan TV pintar.
Namun, kata Kok, dia tidak pernah meluluskan peruntukan dalam skala sebegitu dan siasatan lanjut mendapati syarikat yang mengeluarkan invois tersebut tidak adalah entiti palsu.
SPRM mengesahkan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM.
SPRM juga mendakwa kedua-dua lelaki berusia 30-an itu telah meminta dan menerima rasuah kira-kira RM500,000 sebagai pertukaran untuk meluluskan RM1.5 juta dana awam di bawah inisiatif “Projek Mesra Rakyat” untuk pembekalan papan pintar interaktif.
Kedua-dua mereka dilaporkan ditahan ketika memberikan keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada 5 Mac, sebelum direman selama empat hari.