ADS
Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS soal kemampuan Sapura Energy bayar balik RM1.1b pada kerajaan
Diterbitkan:  Mar 13, 2025 5:39 PM
Dikemaskini: 9:59 AM

PAS mempersoalkan kemampuan Sapura Energy Bhd (SEB) untuk membayar semula suntikan dana RM1.1 bilion daripada kerajaan, meskipun Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa ia bukan satu bentuk "bailout", sebaliknya pinjaman yang perlu dibayar semula.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, berkata kenyataan Anwar bercanggah dengan pendiriannya sebelum ini yang pernah mencadangkan audit forensik ke atas SEB ketika berdebat dengan bekas perdana menteri, Najib Razak.

"Kerajaan juga menyatakan bahawa suntikan dana ini bukanlah dana hangus kerana ia berbentuk pinjaman yang boleh dibayar balik. Namun, realiti kewangan SEB membangkitkan persoalan besar tentang kebolehan syarikat untuk menunaikan janji pembayaran semula.

"Jika pelaburan ini benar-benar menguntungkan, mengapa pelabur swasta tidak berminat? Tiada minat daripada pelabur swasta menunjukkan tahap risiko yang sangat tinggi, tetapi kerajaan masih memilih untuk menanggung risiko tersebut menggunakan dana awam," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

ADS

Menurut Ahmad Fadhli, PAS tidak mempunyai halangan sekiranya langkah ini benar-benar diperlukan untuk sebuah syarikat yang mempunyai kepentingan strategik kepada industri minyak dan gas negara.

Namun, dia mempersoalkan perubahan pendirian Anwar yang dahulu lantang mengkritik sebarang bentuk campur tangan kerajaan dalam menyelamatkan syarikat korporat.

"Bukankah dulu beliau berdegar-degar menjanjikan pelbagai formula yang lebih baik, lebih telus, dan kononnya tidak membebankan kerajaan? Jadi, apa yang berubah sekarang? Adakah ini satu lagi bukti bahawa beliau benar-benar lidah bercabang?" soalnya.

Anwar hari ini mempertahankan keputusan kerajaan memberikan suntikan tunai RM1.1 bilion kepada Sapura Energy yang sedang bergelut dengan hutang.

Dia menjelaskan bahawa pembiayaan tersebut akan digunakan khusus untuk membayar vendor dan bukannya dana hangus, kerana ia perlu dibayar semula oleh Sapura Energy.

Ahmad Fadhli berkata, walaupun kerajaan mendakwa dana ini digunakan untuk membayar lebih 2,000 vendor tempatan, ia tidak menafikan hakikat bahawa suntikan modal ini datang daripada entiti berkaitan kerajaan bagi menyelamatkan syarikat bermasalah.

Ahmad Fadhli turut membangkitkan isu kewangan SEB yang telah lama berdepan tekanan kewangan dengan jumlah hutang melebihi RM10 bilion.

“Tanpa campur tangan kerajaan, syarikat ini berpotensi gagal membayar pembekal dan pekerja.

"Persoalannya, mengapa hanya SEB menerima pelaburan ini, sedangkan banyak syarikat perkhidmatan minyak dan gas lain juga menghadapi kesukaran? Apakah mekanisme lain seperti penstrukturan semula hutang telah dipertimbangkan sebelum kerajaan mengambil keputusan untuk campur tangan?" soalnya.

Tambahnya, PNB sebelum ini telah melabur RM2.68 bilion dalam SEB sejak 2018, menjadikannya pemegang saham terbesar dengan 44.1 peratus pegangan.

“Dengan suntikan dana terbaru, risiko kehilangan dana meningkat dan boleh memberi kesan langsung kepada pemegang unit amanah rakyat Malaysia,” tambahnya.

Ahmad Fadhli turut mempersoalkan tindakan kerajaan yang tidak melaksanakan audit forensik terhadap SEB, walaupun ia pernah dicadangkan oleh Anwar sendiri.

ADS

Tanpa audit tersebut, katanya, sukar untuk menjamin ketelusan dalam pengurusan syarikat sebelum sebarang pelaburan dibuat.

"Jika SEB benar-benar berdaya saing, syarikat ini seharusnya mampu menarik pelaburan swasta tanpa perlu campur tangan kerajaan. Hakikat bahawa kerajaan perlu masuk campur membuktikan kelemahan daya saing syarikat ini," jelasnya.

Dia turut meragui keberkesanan mekanisme opsyen penukaran saham yang dikatakan menjadi kaedah pembayaran balik pinjaman tersebut, memandangkan prestasi saham Sapura Energy yang tidak menentu dan risiko kerugian terus menghantui kerajaan.

Justeru Ahmad Fadhli menyifatkan langkah kerajaan sebagai satu lagi bukti bahawa tiada reformasi sebenar berlaku dalam pentadbiran negara.

"Hakikatnya, tiada apapun yang direformasikan. Sekadar tukar nama, tukar penjawat, selebihnya tetap sama bahkan lebih teruk," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS