Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata fokusnya kini adalah untuk kembali bekerja seperti biasa.
Ini selepas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu bertemu dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini berhubung hasratnya untuk keluar Umno dan menyertai PKR.
“Buat masa ini kita telah buat engage dengan Datuk Seri Zahid dan pada masa yang sama kita fokus balik pada kerja kitalah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Perdagangan Digital Madani, di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec), Kuala Lumpur, hari ini.
Tengku Zafrul yang juga ketua Umno Kota Raja berkata demikian mengulas lanjut nasihat Zahid semalam.
Zahid semalam dilapor berkata dia telah menasihati Tengku Zafrul agar tidak tergesa-gesa dalam membuat keputusan untuk menyertai PKR.
Pada Disember tahun lalu, Presiden PKR Anwar Ibrahim mengesahkan terdapat perbincangan awal dalam parti itu berhubung desas-desus penyertaan Tengku Zafrul.
Anwar berkata PKR bersikap terbuka terhadap penyertaan mana-mana individu termasuk ke dalam parti itu asalkan individu berkenaan boleh memberi sumbangan kepada parti.
Bagaimanapun Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata parti itu tidak akan "menerima dan membenarkan" lompat parti bagi mana-mana anggota kerajaan campuran.
Pada 10 Februari lalu, Tengku Zafrul berkata dia akan berbincang dengan Zahid terlebih dahulu sebelum membuat keputusan berhubung perkara itu.
Mengulas lanjut saranan Zahid, Tengku Zafrul menegaskan bahawa keputusannya untuk keluar dari parti tidak dibuat secara tergesa-gesa.
Bagaimanapun, dia secara terbuka menerima nasihat Zahid untuk terus kekal berada dalam parti itu.
“Kita berjumpa untuk mendengar pendapat dan sebagainya. Pada masa itu saya berbincang dengan beliau mengenai kedudukan saya dalam parti dan saya telah mendengar nasihat beliau supaya jangan tergesa-gesa dan memang kita tidak tergesa-gesa,” katanya.