ADS
mk-logo
Berita
Anwar: Penentang URA ada agenda pastikan Melayu terus miskin

Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini membidas pengkritik Akta Pembaharuan Bandar (URA) yang dicadangkan kerajaan, dengan menegaskan bahawa mereka yang membantahnya mempunyai agenda tersembunyi dalam memastikan orang Melayu terus miskin.

Berucap kepada kakitangan Kementerian Kewangan pada perhimpunan bulanan, di Putrajaya, hari ini, Anwar berkata hati nuraninya tidak membenarkannya berdiam diri sedangkan penduduk miskin bandar hidup dalam keadaan serba kekurangan.

“Apakah (patutnya) mereka kekal anak-pinak hidup begitu? Sedangkan kita ada segala kemewahan, kita ada mercu tanda yang hebat dengan Twin Tower (Menara Berkembar), kita ada jambatan semua hebat-hebat.

“Tapi majoriti rakyat miskin bandar hidup dalam keadaan begitu

ADS

(daif). Saya tidak boleh (biarkan demikian), ia menyentuh hati nurani saya,” kata Anwar, yang juga menteri kewangan.

Terdahulu dalam ucapannya, Anwar mengimbas kembali mengenai lawatannya ke sebuah unit rumah pangsa kos rendah di Sri Perlis sebelum ini.

Katanya terdapat sekurang-kurangnya enam orang dalam keluarga itu yang tinggal bersesaan di rumah satu bilik yang berkongsi bilik air tunggal.

Katanya, keluarga seperti itu berkemungkinan akan terus menghuni di rumah tersebut sehingga generasi seterusnya.

ADS

Mengulas mengenai usaha pihak tertentu yang cuba menggagalkan undang-undang tersebut atas pelbagai sebab, Anwar berkata sesetengah mereka hanya berminat untuk memastikan orang Melayu terus berpendidikan rendah dan miskin supaya mereka boleh "diperalatkan".

“Ini yang disebut teori sindrom kebergantungan oleh Samir Amin, umpama rakyat dilemahkan supaya boleh dikawal, ilmu sedikit jadi boleh dihasut, melalui agama dan kaum, ini masalahnya” katanya.

Mengulangi jaminannya bahawa URA tidak akan mengubah status tanah terjejas, Anwar menegaskan bahawa mereka yang menentang URA masih belum mengemukakan sebarang cadangan balas.

Anwar sebelum ini memberitahu Dewan Rakyat bahawa akta yang dicadangkan itu tidak akan memaksa pemilik tanah atau rumah daripada menyerahkan kediaman mereka atau mengubah komposisi etnik di kawasan berkenaan.

Perdana menteri juga memberi jaminan bahawa rang undang-undang itu tidak akan mengandungi peruntukan yang boleh menyebabkan pemilik, tanpa mengira kaum mereka, kehilangan pemilikan harta mereka.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini mendakwa rang undang-undang itu adalah kaedah halus untuk memindahkan orang Melayu dan India yang miskin dari kawasan bandar kerana mereka tidak akan dapat membeli semula rumah mereka kerana kos yang meningkat.

Dakwaan itu diulangi oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, yang berkata penguatkuasaan akta itu akan menyaksikan hanya golongan kaya dan pemilik perniagaan mampu hidup di kawasan bandar, menjadikan masa depan masyarakat Melayu tidak menentu.

Akta yang dicadangkan itu berkemungkinan akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jun atau Julai ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS