Veteran DAP Lim Kit Siang meluahkan sokongannya kepada naib pengerusi DAP Teresa Kok berhubung kontroversi yang menyelubungi siasatan SPRM terhadap dua bekas pembantunya.
Ini selepas Kok melahirkan kebimbangan bahawa kejadian itu mungkin menjejaskan peluangnya untuk mempertahankan kedudukannya dalam jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP.

Lim, yang merupakan bekas setiausaha agung dan juga pengerusi DAP, berkata dia telah bercakap dengan Kok mengenai isu yang melibatkan bekas pegawainya dan percaya ahli Parlimen Seputeh itu tidak bertanggungjawab terhadap penahanan mereka.
"Saya merujuk kepada laporan mengenai pengakuan Teresa Kok bahawa siasatan rasuah baru-baru ini melibatkan dua bekas pegawainya yang boleh menjejaskan peluangnya dalam pemilihan DAP akan datang.
"Sekiranya ini berlaku, ini adalah sangat malang. Saya sempat bertanya kepada Teresa apa yang berlaku dan dia beritahu saya cerita keseluruhannya.
“Saya percaya Teresa tidak melaporkan perkara itu kepada Badan Pencegah Rasuah dan tidak bertanggungjawab terhadap penahanan dua bekas pegawainya.
"Saya percaya Teresa berpegang kepada integriti, akauntabiliti, tanggungjawab, tadbir urus yang baik dan demokrasi," kata Lim dalam satu kenyataan.

Semalam, Kok bercakap kepada Malaysiakini mengenai kes yang melibatkan bekas pegawainya dan berkata dia percaya ini mungkin menjejaskan peluangnya dalam pemilihan parti.
Menurut Kok, perwakilan parti yang mengenali bekas pembantunya tidak dapat menerima keputusannya untuk menamatkan perkhidmatan mereka tahun lalu dan mungkin menggunakan undi mereka untuk menghukumnya.
Pada 6 Mac, naib pengerusi DAP itu mendedahkan bahawa SPRM telah menahan dua bekas kakitangannya yang sebelum ini menguruskan kewangan dan dana kawasan di pusat khidmatnya sebelum meletak jawatan tahun lepas.
Kok percaya siasatan SPRM ada kaitan dengan pembelian papan pintar pada harga yang didakwa melambung tinggi.
Jelasnya, pada penghujung Oktober tahun lalu, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Wilayah Persekutuan di bawah Jabatan Perdana Menteri telah menghubunginya untuk memaklumkan peruntukan kawasan pilihan rayanya sebanyak RM99,000 telah digunakan untuk menyalurkan papan pintar dan TV pintar kepada 16 sekolah.

Bagaimanapun, Kok menyatakan bahawa dia tidak pernah meluluskan peruntukan berskala besar itu, dan siasatan lanjut mendapati syarikat yang mengeluarkan invois itu adalah entiti penipuan.
Difahamkan, salah seorang daripada individu yang ditahan SPRM berhubung kes itu adalah calon dalam pemilihan DAP.
Susulan itu, timbul dakwaan yang menuduh Kok menggunakan SPRM untuk mempengaruhi pemilihan CEC akan datang.
Bagaimanapun, Kok menegaskan dia tidak mempunyai pengaruh dalam SPRM dan menafikan dirinya memfailkan laporan kepada suruhanjaya itu.