ADS
mk-logo
Berita
ULASAN | My Parents’ Midlife Crisis ungkap cita-cita wanita

“Abang saya, Lyon Lee, seorang pelumba basikal yang belajar sendiri. Pada usia 35 tahun, dia menyertai Perlumbaan Ketahanan Innova Cup 48-jam/1000km di Taiwan pada 2019 dan menduduki tempat ke-5.”

Demikian kata Joey Lee tentang filem genre drama komedi bahasa Kantonis arahannya, My Parents’ Midlife Crisis yang teaser dilancarkan pada 8 Mac lalu sempena Hari Wanita Sedunia. 

“Apa yang paling meninggalkan kesan mendalam dalam jiwa saya ialah bagaimana abang saya melibatkan keluarganya dalam perjalanan itu. Anak-isteri sama-sama menanggung kesusahan seperti tidur di dalam kereta dan menunggu di perhentian bas. 

“Walaupun mengalami kecederaan dan tidak pula mendapat kemenangan besar, dia berkata, apa yang lebih penting adalah ia merupakan perjalanan bersama sebagai sebuah keluarga.”

ADS

Filem sepanjang 109 minit yang membariskan pelakon seperti Jojo Goh, Douglas Lim, Steve Yap, Mandy Chen dan Cheryl Foong berusaha mengupas peranan wanita dalam keluarga serta pencarian minat dalam dunia lumba basikal.

Pada November 2022, Joey Lee dipilih mewakili Malaysia ke Busan Asian Film School yang berprestij di Korea Selatan. Projeknya meraih anugerah khas semasa sesi pitching

“Tidak lama selepas itu, saya menerima Dana Kandungan Digital (DKD) daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas). 

“Maka, saya segera memulakan impian menjadi pengarah wanita pertama dalam industri filem Cina tempatan,” kata Joey Lee yang mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama menerima Arri International Support Grant (2024) di Berlin dalam kategori pengarah pertama kali.

ADS

Produksi filem My Parents’ Midlife Crisis bermula pada tahun lalu sebaik beliau menyiapkan lakon layar serta mendapat sokongan daripada Lee Lin dan Jeremiah Foo sebagai penerbit.

“Sesungguhnya, kami masih kekurangan dana untuk menampung kos pascaproduksi akhir dan kerja-kerja kempen pemasaran menjelang pelancaran filem ini pada Mei depan,” ujar Joey Lee yang berusaha keras menyiapkan filem ini mengikut jadual.

Filem My Parents’ Midlife Crisis mengupas cabaran dihadapi seorang gadis remaja berusia 13 tahun yang terperangkap antara ayahnya yang konservatif dan ibu yang tidak puas hati kerana belum mampu mencapai cita-cita dalam hidup. 

“Kisah ini bukan sahaja tentang perjuangan seorang wanita, tetapi lebih kepada perjalanan penemuan diri sebuah keluarga secara kolektif, dengan saat-saat gembira dan air mata,” kata Joey Lee sambil menambah bahawa filem bahasa Kantonis ini turut disediakan sarikata bahasa Inggeris.

Dana Hari Penyakit Jarang

Sesi penggambaran selesai dalam masa 21 hari dengan kerjasama Lee Lin, seorang penerbit berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang penerbitan filem di China, Hong Kong, dan Malaysia.

“Saya sangat bersyukur mempunyai pelakon dan kru yang luar biasa. 

“Mereka mempercayai cerita ini, menyokong visi saya, dan membimbing saya sepanjang perjalanan merealisasikan kelahiran filem ini,” ujar Joey Lee semasa diwawancara di pejabat syarikat perfileman Passionate World Sdn Bhd, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

ADS

Filem My Parents’ Midlife Crisis baru sahaja selesai tayangan ujian penonton pertama di TGV One Utama dengan kerjasama Persatuan Penyakit Lisosom Malaysia (MLDA) untuk mengumpul dana bagi Hari Penyakit Jarang Sedunia. 

“Saya amat berterima kasih kepada penerbit dan pengarah fotografi, Jordan Chiam, yang kerjanya dalam Polis Evo 3 dan beberapa filem komersial sebelum ini membantu menjayakan projek ini. 

“Kerja berpasukan di set adalah luar biasa, dan komitmen serta kepercayaan pasukan terhadap saya dan filem ini adalah apa yang mendorong saya untuk terus berusaha demi kejayaan filem ini,” tambah Joey Lee.

Filem ini menyelami konsep “keluarga” yang berasal daripada kata Latin “familia” (pelayan rumah tangga). 

Joey Lee turut mendapat ilham daripada  lukisan terkenal The Birth of Venus (1480-an) oleh pelukis Itali, Sandro Botticelli yang melambangkan perjalanan seorang wanita untuk mengekspresikan diri yang sebenar walaupun berhadapan dengan batasan masyarakat. 

Melalui sudut pandangan seorang gadis remaja, filem My Parents’ Midlife Crisis meneroka perjuangan membesar sambil menyaksikan krisis pertengahan usia dialami ibu bapa. 

Apa yang diketengahkan adalah perjalanan penemuan diri–setiap ahli keluarga mentakrifkan semula identiti dan impian mereka. 

Filem ini benar-benar berusaha menyelami apa yang dimaksudkan dengan konsep “keluarga” yang sebenar. 

Di terasnya, filem My Parents’ Midlife Crisis cuba mencabar jangkaan keluarga tradisional orang Timur (Asia) sambil mengetengahkan tema semangat, penemuan diri, dan harapan yang sesuai bagi tontonan sekeluarga masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

“Filem ini tentang membebaskan diri daripada cengkaman tradisi, merangkul keperibadian, dan menunjukkan bagaimana keluarga dan minat boleh wujud bersama, walaupun dalam keadaan yang paling mencabar,” Joey Lee menyimpulkan dengan penuh optimis tentang filem sulungnya.


UTHAYA SANKAR SB seorang penulis sepenuh masa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS