Dua individu yang tiba dari Kuala Lumpur ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Anna di Chennai, India selepas cuba menyeludup sejumlah primat, seekor musang dan seekor musang polecat dalam bagasi pada 7 Mac lalu.
Insiden itu berlaku pada hari sama Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad membuat pemeriksaan di Terminal 2 KLIA berhubung penguatkuasaan terhadap kegiatan penyeludupan hidupan liar.
Difahamkan penerbangan yang membawa hidupan liar ke Chennai telah berlepas pada dari Terminal 1 KLIA pada malam itu.
Menurut Jabatan Kastam Chennai, dua ekor ungka kelabu Timur dan seekor musang pandan putih Sumatera mati dalam perjalanan, manakala lima haiwan lain masih hidup.
Haiwan yang masih hidup ialah seekor lutong perak, dua ekor polecat marmar dan dua ekor ungka kelabu Timur, menurut Pesuruhjaya Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai, Ramanav Srinivasa Naik.

Dua individu yang ditahan itu merupakan warga India dan menaiki penerbangan Malaysia Airlines. Mereka ditahan oleh Unit Perisikan Udara Kastam Chennai selepas menerima maklumat risikan.
“Kedua-dua penumpang ditahan di bawah Akta Kastam dan dibawa ke Mahkamah Majistret Kehakiman Alandur, yang kemudian memerintahkan mereka direman dalam tahanan kehakiman,” katanya.
Dia berkata hidupan liar yang masih hidup telah diberi makanan dan air serta akan dihantar pulang ke negara asalnya.
Daripada spesies yang diseludup, hanya dua – iaitu lutong perak dan ungka kelabu Timur – berasal dari Malaysia. Ia menunjukkan spesies lain sama ada dibiak di Malaysia untuk didagangkan atau diseludup masuk ke Malaysia.
Primat tersebut juga boleh ditemui di Indonesia, dengan lutong perak dikategorikan sebagai spesies hampir terancam, manakala ungka kelabu Timur merupakan spesies terancam yang berdepan kemerosotan populasi, menurut Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam (IUCN).
Antara ancaman utama terhadap primat ini ialah kehilangan habitat, pemburuan dan penangkapan untuk perdagangan haiwan peliharaan.
Sementara itu, musang pandan putih Sumatera, yang juga dikenali sebagai musang pandan bertopeng Sumatera, boleh ditemui di Indonesia manakala polecat marmar berasal dari tenggara Eropah, Rusia, dan China.
Pusat penyeludupan hidupan liar
Menurut pihak berkuasa India, pada 2023 terdapat lapan kes rampasan hidupan liar yang melibatkan penerbangan dari KLIA dan KLIA2, manakala ia meningkat kepada 12 kes pada 2024.
Selain kes pada 7 Mac ini, terdapat dua lagi kes penyeludupan hidupan liar yang dilaporkan tahun ini melibatkan penumpang penerbangan dari Kuala Lumpur ke India.
Kes tersebut melibatkan siamang dan beruk ekor babi yang diseludup ke Mumbai dan Port Blair di Kepulauan Andaman dan Nicobar, masing-masing disembunyikan dalam bagasi daftar masuk penumpang.
Pada 7 Mac lalu, Nik Nazmi membuat pemeriksaan terhadap aktiviti penguatkuasaan perdagangan hidupan liar dan menyaksikan simulasi pengesanan hidupan liar menggunakan anjing pengesan perhilitan di KLIA2.
Dia juga menerima taklimat daripada Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengenai sistem pemeriksaan bagasi di lapangan terbang.
MAHB mengendalikan semua bagasi daftar masuk, manakala Jabatan Kastam memeriksa bagasi yang dibawa oleh penumpang ke dalam pesawat.

Pada 18 Februari lalu, pihak berkuasa Malaysia menggagalkan satu percubaan oleh dua penumpang untuk menyeludup lebih 4,000 ekor kura-kura hidung babi yang disembunyikan dalam bagasi dari KLIA ke Hanoi, Vietnam.
Pada 10 Mac lalu, seorang penumpang penerbangan ditahan di KLIA2 apabila dia cuba menyeludup lima ekor burung sewah tahu - yang disumbat di dalam lima paip PVC berasingan di dalam bagasi daftar masuk - ke Surabaya, Indonesia.