ADS
Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penumpang ditahan cuba seludup burung dalam paip PVC di KLIA2

Seorang penumpang sebuah pesawat yang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) telah ditangkap atas dakwaan cuba menyeludup burung di dalam beg pakaiannya.

Penahanan itu dibuat hanya empat hari selepas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Nik Nazmi Nik Ahmad memeriksa aktiviti penguatkuasaan hidupan liar di lapangan terbang, susulan beberapa siri cubaan penyeludupan hidupan liar asing oleh penumpang pesawat yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur.

Pada Isnin lalu, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menahan seorang lelaki warga Indonesia, 47, yang didakwa membawa lima ekor burung sewah tahu (koel) Asia di lapangan terbang itu.

Burung sewah tahu atau juga disebut burung tuwu adalah ahli keluarga burung cuckoo itu dijumpai disumbat di dalam lima paip polivinil klorida (PVC) berasingan di dalam bagasi daftar masuk milik lelaki itu, kata AKPS.

ADS

Dia dijadual menaiki pesawat AirAsia QZ321 menuju ke Surabaya, Indonesia.

“Setelah ditahan dan disoal siasat, suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen yang membenarkannya mengeksport haiwan hidupan liar yang dianggarkan bernilai RM65,000 itu,” kata AKPS dalam satu kenyataan.

Menurut Perhilitan, suspek direman empat hari bermula 11 Mac ini.

AKPS berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 71 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 atas kesalahan mengeksport hidupan liar yang dilindungi tanpa permit khas.

Ia juga memberi amaran kepada mana-mana individu daripada cuba menyeludup haiwan hidupan liar dan berkata ia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas bagi menghentikan aktiviti haram itu bagi memastikan biodiversiti negara dilindungi.

Orang ramai boleh menyokong usaha penguatkuasaan terhadap aktiviti perdagangan hidupan liar atau penyeludupan dengan memaklumkan Perhilitan melalui talian hotline 1-800-88-5151 atau laman webnya.

Minggu lalu Nik Nazmi melawat KLIA2 untuk meninjau aktiviti penguatkuasaan perdagangan hidupan liar dan memerhati simulasi pengesanan hidupan liar menggunakan anjing penghidu Perhilitan.

Dalam lawatan Jumaat itu, Nik Nazmi menerima taklimat daripada Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengenai sistem pemeriksaan bagasi di lapangan terbang.

MAHB mengendalikan semua bagasi daftar masuk manakala Jabatan Kastam memeriksa bagasi tangan yang dibawa penumpang ke dalam pesawat.

Dalam satu kenyataan, menteri itu berkata Perhilitan, yang berada di bawah kementeriannya, akan mengambil langkah proaktif untuk memerangi perdagangan hidupan liar, termasuk meningkatkan penguatkuasaan di pintu masuk negara.

Nik Nazmi menegaskan bahawa KLIA adalah antara pintu masuk negara berisiko tinggi untuk penyeludupan hidupan liar, sambil menekankan peranan penting agensi penguatkuasaan dan MAHB dalam membendung aktiviti sedemikian secara berkesan.

Dia berkata Malaysia telah menjadi hab transit untuk menyeludup produk hidupan liar dan haiwan bernilai tinggi seperti gading gajah, sumbu badak dan reptilia eksotik.

ADS

Data daripada pihak berkuasa India mengenai rampasan hidupan liar yang melibatkan penerbangan dari KLIA dan KLIA2 menunjukkan lapan kes direkodkan pada 2023 dan 12 pada 2024.

Malaysia kini dianggap sebagai titik transit utama untuk pemerdagangan spesies terancam ke bahagian lain di Asia.

Pada 18 Feb, pihak berkuasa merampas 4,386 penyu hidung babi daripada diterbangkan keluar negara di KLIA.

Susulan maklumat, pegawai Perhilitan dan AKPS memeriksa dua penumpang yang berhasrat menaiki penerbangan AirAsia AK512 dari Kuala Lumpur ke Hanoi.

“Hasil pemeriksaan terhadap kedua-dua penumpang mendapati mereka membawa tujuh bagasi yang mengandungi 4,386 ekor penyu.

Perhilitan mendedahkan penyu yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM1.754 juta.

Bulan lalu juga, Jabatan Kastam di Mumbai dan Kepulauan Andaman serta Nicobar di India menggagalkan dua percubaan untuk menyeludup monyet dari Malaysia ke negara tersebut melalui penerbangan penumpang.

Dalam kes Mumbai, lima bayi siamang disembunyikan dalam bekas plastik di dalam troli yang dibawa oleh seorang penumpang yang menaiki penerbangan Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur pada 4 Feb.

Tiga daripada siamang itu kemudiannya mati, manakala dua lagi dalam keadaan kritikal selepas diselamatkan dan akan dihantar pulang ke Malaysia sebaik sahaja dipulihkan.

Dalam kes Kepulauan Andaman dan Nicobar, lapan monyet - jenis kera dan siamang - dijumpai di dalam beg dua penumpang yang menaiki penerbangan AirAsia dari Kuala Lumpur pada 8 Feb.

Penyeludup berkenaan dikatakan berhasrat untuk meneruskan perjalanan ke Bengaluru dan Chennai, lapor media tempatan.

Oktober lalu, seorang wanita Malaysia ditangkap di Lapangan Terbang Chennai ketika cuba mengedar empat siamang dan 52 iguana melalui penerbangan dari Kuala Lumpur.

Pada September 2024, seorang penumpang dari Kuala Lumpur terbang ke Lapangan Terbang Chennai ditahan dengan 5,000 ekor penyu di dalam bagasinya, manakala sebulan sebelum itu, pihak berkuasa di sana memintas 778 kura-kura bintang yang ditemui dalam bagasi penumpang.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS