ADS
Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM kini tak ada alasan tak terus siasat rasuah Sabah - Zaid
Diterbitkan:  Mar 11, 2025 2:54 PM
Dikemaskini: 6:54 AM

SPRM tidak lagi mempunyai alasan untuk mengelak daripada meneruskan siasatan berhubung skandal rasuah Sabah kerana ia dijangka menerima video penuh yang tidak diedit berhubung kes itu hari ini, kata Zaid Ibrahim.

Bekas menteri undang-undang itu berkata demikian selepas bekas ketua pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya mengumumkan bahawa Lawyers for Liberty (LFL) akan menyerahkan semua video yang belum diedit yang diterima daripada pemberi maklumat kepada pemberi rasuah.

“Latheefa tidak memberi ruang untuk SPRM beri alasan.

“Pemberi maklumat menghantar video yang tidak diedit, yang bermakna SPRM perlu menyelesaikan skandal rasuah di Sabah,” tulisnya di X.

Terdahulu, Latheefa berkata Pengarah Eksekutif LFL Zaid Malek akan hadir di ibu pejabat SPRM di Putrajaya kira-kira jam 2 petang untuk menyerahkan pemacu USB dan peranti asal yang digunakan pemberi maklumat untuk merakam video yang didakwa membabitkan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, lapan Adun dan speaker DUN Sabah.

ADS

Pemberi maklumat sebelum ini dikenal pasti sebagai ahli perniagaan, tetapi Latheefa pagi ini merujuknya menggunakan nama pertamanya - Albert.

Mengulas lanjut, Zaid Ibrahim berkata, Latheefa bukan ahli politik tetapi bekas ketua pesuruhjaya SPRM, justeru usahanya berhubung kes itu bukan atas dasar politik kepartian.

“(Ketua Pesuruhjaya SPRM) Azam Baki kini mesti mengeluarkan kenyataan umum bahawa siasatan penuh akan dimulakan tanpa dihalang oleh mana-mana kuasa atasan.

"Sebarang pilihan lain akan menjejaskan SPRM dan tidak dapat dibaiki," tegasnya.

Pada Februari, lebih dua bulan sejak Albert mula mendedahkan video itu, Azam dilaporkan berkata cabaran terbesar dalam menyiasat dakwaan rasuah Sabah ialah kekurangan maklumat yang mencukupi.

Pada masa itu, Azam berkata pemberi maklumat masih tidak mahu berkongsi video berkenaan, dan apa yang telah diterbitkan oleh Malaysiakini adalah "terlalu sedikit".

Sejak November, Malaysiakini telah menerbitkan lebih lapan video dan tangkapan skrin WhatsApp berkaitan kes itu.

Pemberi maklumat itu mendakwa bahawa video itu merakam perbincangan mengenai rasuah yang ditawarkannya kepada pelbagai Adun sebagai pertukaran untuk lesen cari gali mineral.

Semasa perbincangan itu, Adun termasuk mereka yang mempunyai portfolio kanan, turut mengaitkan Hajiji dalam dakwaan mengedarkan lesen sebagai pertukaran sokongan mereka semasa krisis politik 2022 di negeri itu.

Hajiji telah menafikan dakwaan itu sebagai cubaan untuk memburukkan pentadbirannya, dan mendakwa pemberi maklumat itu bekerjasama dengan pihak yang mempunyai kepentingan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS