ADS
mk-logo
Berita
Menteri harap debat Saravanan-Zamri tidak diteruskan
Diterbitkan:  Mar 10, 2025 11:51 AM
Dikemaskini: 4:24 AM

Menteri Perpaduan Negara berharap cabaran debat melibatkan agama khususnya yang dirancang antara Timbalan Presiden MIC M Saravanan dan pendakwah bebas Zamri Vinoth tidak diteruskan.

Aaron Aro Dagang berkata, debat atau perbincangan yang terlalu fokus kepada perbezaan agama berpotensi mencetuskan ketegangan dan mengeruhkan hubungan antara masyarakat yang berbilang agama di Malaysia.

“Justeru, saya ingin menegaskan bahawa perbincangan atau perdebatan yang berkaitan dengan agama tidak seharusnya diteruskan jika ia hanya bertujuan untuk mencari perbezaan dan mengabaikan usaha untuk membina perpaduan.

“Perbincangan mengenai agama seharusnya dilakukan dengan penuh rasa hormat dan kesedaran terhadap kepelbagaian dalam masyarakat kita.

ADS

“Walaupun kita mempunyai pelbagai agama dan kepercayaan, adalah lebih utama untuk kita memberi fokus kepada titik persamaan dan nilai-nilai universal yang dapat menyatukan kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sebelum ini Malaysiakini melaporkan Saravanan menetapkan 23 Mac untuk berdebat dengan Zamri berikutan kenyataan kontroversi yang membandingkan pembawa kavadi ketika sambutan Thaipusam dengan individu yang dirasuk atau mabuk.

Ia rentetan daripada insiden membabitkan tiga penyampai radio dari Era FM yang sedang disiasat berhubung video Tik Tok yang memaparkan salah seorang daripada mereka sedang menari manakala seorang lagi melaungkan “Vel Vel”.

Mereka sejak itu telah memohon maaf, dan digantung tugas manakala siasatan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang berjalan.

ADS

Susulan itu Zamri bertindak memuat naik imej teks “sebut Vel Vel tak la sampai hilang nyawa orang tetapi apa yang berlaku di kuil Seafield itu pernah jadi penyebab nyawa Adib hilang.”

Kenyataan itu merujuk kepada anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, yang maut ketika rusuhan di luar kuil Hindu di Subang Jaya, Selangor, pada 2018.

Sementara itu Aaron berkata adalah lebih baik untuk semua pihak memanfaatkan platform Dialog Harmoni kendalian kementeriannya sebagai medium untuk memperkukuh kefahaman dan menghargai kepelbagaian yang wujud dalam masyarakat dengan mengangkat titik persamaan.

Katanya, Dialog Harmoni dengan tema faham, hormat dan terima itu bagi membincangkan dan berkongsi amalan baik agama masing-masing, serta nilai persamaan yang mampu meningkatkan hubungan antara penganut agama di negara ini.

“Saya juga ingin mengingatkan semua pihak agar terus berusaha untuk menjaga kestabilan negara dengan memelihara keharmonian antara kaum dan agama.

“Semua pihak, sama ada wakil rakyat, ahli politik, pemimpin agama, masyarakat, atau individu, perlu memainkan peranan masing-masing dalam memupuk perpaduan dan mengekalkan kesejahteraan negara,” jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS