Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Johari Abdul menolak usul merujuk Ahli Parlimen Ayer Hitam, Wee Ka Siong kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen.
Usul berkenaan bagi tindakan disiplin berkaitan ucapan Wee tentang pembelian semula saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Wee berkata dia menerima salinan surat daripada Johari kepada Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin yang telah mengemukakan usul tersebut bagi memaklumkan keputusan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.
“Hari ini, 6 Mac 2025 segalanya terjawab, membuktikan bahawa saya tidak melanggar peraturan mesyuarat berhubung isu penjualan saham MAHB oleh KWSP.

"Terima kasih Tan Sri Datuk (Dr) Johari bin Abdul atas keputusan yang bijaksana,” kata Wee pada hantaran Facebook hari ini.
Sebelum ini, presiden MCA itu berbeza pendapat dengan Chong mengenai sama ada KWSP mengalami kerugian atau tidak dalam urus niaga yang melibatkan saham MAHB.
Wee berkata KWSP membeli saham tersebut pada harga RM2.50 sesaham pada tahun 1999 dan menjualnya pada harga RM6 sesaham pada tahun 2023. Dengan membelinya kembali pada harga RM11 sesaham tahun lalu sebagai sebahagian daripada usaha untuk menarik balik penyenaraian MAHB, KWSP akan rugi RM500 juta.
Chong dikatakan menangkis kenyataan itu, menyebut KWSP sebenarnya mengaut keuntungan daripada saham MAHB dan pembelian balik saham itu langkah strategik dalam menjangka keuntungan masa depan.

Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan juga telah memberi maklum balas pada 20 Februari menyatakan KWSP mendapat keuntungan RM102 juta daripada jualan saham MAHB pada tahun 2023.
Pada hari sama, Chong mengemukakan usul kepada Johari, mendakwa Wee mengelirukan Dewan Rakyat dan menuntut tindakan di bawah Peraturan 36(6) dan 36(12) Peraturan Tetap, dengan Wee telah mengemukakan penjelasannya kepada Johari pada 27 Februari.
Menurut Wee, Johari telah membalas kepada Chong dengan memaklumkan dia mendapati "tiada kes prima facie" berkaitan dengan perkara yang dibangkitkan dalam usul tersebut.
Dengan perkara itu selesai, Wee mencabar Chong menunaikan janjinya pada 5 Februari untuk bersara daripada politik jika terbukti KWSP mengalami kerugian dalam urusan MAHB.

"Memandangkan YB Kampar telah berjanji dalam Dewan Rakyat untuk meletakkan jawatan sekiranya KWSP rugi walau satu sen pun, maka beliau sepatutnya menunaikan janji tersebut bagi menjaga integriti Parlimen dan memastikan Dewan Rakyat tidak dikelirukan oleh kata-kata dan janji-janji beliau.
"YB Kampar juga tidak boleh sekali lagi bersandar kepada jawapan Menteri Kewangan II yang menyatakan bahawa KWSP memperoleh keuntungan RM102 juta daripada penjualan saham tersebut, kerana isu yang dipertikaikan bukan sekadar penjualan tetapi tindakan menjual murah dan membeli balik pada harga lebih tinggi.
"Jawapan Menteri Kewangan II hanya menyebut keuntungan daripada bahagian penjualan, tetapi tidak langsung menjelaskan keuntungan atau kerugian daripada bahagian membeli semula pada harga lebih mahal.
"Jadi, YB Kampar, bila mahu menunaikan janji untuk bersara,” soalnya.