ADS
story images
story images
mk-logo
Berita
Jemaah menteri junjung titah Sultan Pahang henti bahas titah adendum

Jemaah menteri hari ini menjunjung kasih kepada Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas titah baginda yang menggesa semua pihak menghentikan perbahasan mengenai titah adendum berkaitan tahanan rumah terhadap bekas perdana menteri, Najib Razak.

Menteri Komunikasi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, semua pihak perlu menghormati titah berkenaan.

"Perdana Menteri merakamkan terima kasih kepada Sultan Pahang. Seperti yang kita semua sedia maklum, tuanku telah bertitah, supaya isu titah adendum yang sekarang di bawah proses undang-undang perlu dihormati.

"Kerajaan menjunjung kasih titah Tuanku.

ADS

"Insyaallah dari segi pelaksanaan dan juga perkara-perkara berkaitan, kerajaan akan teruskan," katanya pada sidang media mingguan kementerian di Putrajaya, hari ini.

Semalam, Sultan Abdullah menggesa semua pihak menghentikan perbahasan mengenai titah adendum berkenaan, sambil menegaskan perkara itu di bawah proses undang-undang dan harus dihormati.

Baginda bertitah perkara itu berada di bawah bidang kuasa pihak yang bertanggungjawab dan berintegriti.

"Oleh itu, semua pihak perlu menghormati proses serta undang-undang yang telah ditetapkan dan tidak menimbulkan sebarang kekeliruan dan retorik.

"Saya menyeru kepada semua supaya berpegang teguh kepada nilai kejujuran, amanah, saling menghormati dan bersikap terbuka dalam menyelesaikan sesuatu perkara," katanya pada majlis impunan Pahang Bermunajat Raja Berdaulat di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, di Kuantan, semalam.

Titah adendum tersebut mengarahkan Najib menghabiskan baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah dan dikeluarkan pada 29 Jan 2023, sehari sebelum Al-Sultan Abdullah menamatkan tempoh perkhidmatannya sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Ini adalah titah tambahan kepada keputusan Lembaga Pengampunan, yang mengurangkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada bekas perdana menteri itu kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta.

Najib yang disabitkan kesalahan dalam kes SRC International, mendapat kebenaran daripada Mahkamah Rayuan pada Januari bagi meneruskan semakan kehakiman untuk memaksa kerajaan melaksanakan titah tambahan itu.

Jabatan Peguam Negara (AGC) sejak itu telah memohon perintah larangan suara (gag order) termasuk larangan liputan media, dengan perbicaraan ditetapkan pada 24 Mac (permohonan semakan kehakiman) dan 28 April (permohonan larangan suara).

Sementara itu, ketika ditanya apakah kerajaan bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang masih membahaskan titah adendum berkenaan, Fahmi berkata perkara itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat jemaah menteri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS